My Add

Saturday 26 January 2013

Siswa masuk kampung mampu anjak pemikiran rakyat




*MUHYIDDIN  melihat model Pusat Dialisis Pagoh dan Gelanggang Futsal Parlimen Pagoh pada majlis pecah tanah bangunan tersebut sempena lawatan sehari beliau ke Johor semalam. Turut hadir, isteri beliau, Norainee Abdul Rahman. - BERNAMA

PAGOH, JUMAAT. 25 Januari, 2013: Pembabitan penuntut institusi pengajian tinggi dalam program kemasyarakatan terutama di kawasan luar bandar dapat memacu anjakan pemikiran rakyat seiring dengan pembangunan prasarana disediakan kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, selain membantu masyarakat luar bandar memahami sesuatu isu dengan lebih mendalam dan kritis, program sedemikian turut memberi manfaat kepada mahasiswa terlibat.

"Kita mahu pemikiran masyarakat luar bandar seiring dengan pembangunan fizikal yang berjalan. Walaupun tinggal di kampung atau pedalaman, mereka tidak kekampungan atau terkebelakang.

"Mahasiswa juga berpeluang memahami apakah yang berlaku di peringkat kampung dari sudut pembangunan, kesihatan dan sosial. Selain bergaul mesra dengan pemimpin setempat atau keluarga angkat, mereka juga dapat melihat usaha kerajaan yang dinikmati penduduk," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program MyAid Kelab UMNO Luar Negara (KULN) Pagoh 2013 di dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Panjang Sari, di sini hari ini.

Yang turut hadir, isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Datuk Tahir Taat dan ADUN Jorak, Datuk Shahrudin Md. Salleh.

Program khidmat masyarakat yang julung-julung kali diadakan itu melibatkan 80 pelajar mewakili KULN dari New Zealand, Australia, United Kingdom, Indonesia, Jepun dan Korea.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh kemudian menyempurnakan majlis pecah tanah untuk membina Pusat Dialisis Amal Tan Sri Muhyiddin milik Yayasan Kebajikan Golf Tan Sri Muhyiddin (YKGTSM) yang akan dibangunkan di atas tanah seluas 24,000 kaki persegi di sini.

Pusat tersebut akan menyediakan rawatan dialisis kepada pesakit di sekitar kawasan Pagoh dengan kadar bayaran berpatutan dan dijangka dilengkapi kemudahan gelanggang futsal dan gimnasium.

Beliau berkata, usaha menubuhkan pusat dialisis sama di seluruh negara juga sedang dilakukan bagi membolehkan para pesakit buah pinggang menikmati perkhidmatan dengan lebih murah.

"Kita sudah membuat perjanjian dengan Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) yang telah menerima pengiktirafan Kementerian Kesihatan dalam pembekalan peralatan dialisis selain menguruskan pusat itu nanti," katanya.

YKGTSM turut menerima sumbangan RM2.5 juta bagi menampung kos pembinaan pusat dialisis tersebut iaitu sebanyak RM1.5 juta daripada ENCORP Berhad yang diwakili Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Effendy Norwawi dan RM1 juta oleh Tree Star Holdings Sdn. Bhd.

Pusat dialisis itu adalah yang kedua dibina selepas Kuala Lumpur dengan dua lagi bakal diwujudkan di Putrajaya dan Johor Bahru. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment