My Add

Friday 25 January 2013

Sokongan lawatan Najib ke Gaza meningkat

Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 24 Januari, 2013: Lawatan bersejarah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Gaza, Palestin terus mendapat pujian rakyat Malaysia yang berbangga dengan usaha beliau dan kerajaan menyokong perjuangan rakyat di negara bergolak itu.

Buktinya sehingga kini, sebanyak 19,256 rakyat Malaysia menyatakan sokongan terhadap lawatan Najib itu di laman sosial Facebook milik beliau berbanding kira-kira 17,000 semalam.

Rata-rata rakan Facebook Najib yang memberi komen terhadap usaha murni itu melahirkan rasa gembira dan bersyukur serta menyifatkan usaha tersebut ke arah membela nasib rakyat Palestin yang sejak sekian lama ditindas Zionis.

Salah seorang rakan Facebook beliau, Adam Tarmidi berkata: "Selepas Tun Mahathir, kini Datuk Seri Najib pula meneruskan perjuangan menentang kezaliman Zionis di bumi Palestin.

"Saya menyokong penuh apa yang dilakukan PM...tahniah..kepada yang mempolitikkannya berhentilah, mari bersatu membela saudara Islam yang sekian lama berada di bawah penindasan dan kezaliman Zionis. Moga bumi Palestin memperoleh kemerdekaan dan menjadi negara berdaulat."

Sementara itu, Taufik Yusoff pula mengucapkan tahniah kepada Najib atas usaha tersebut dan berkata, sebagai rakyat Malaysia dia mendoakan perjuangan Najib ke arah membela nasib rakyat Palestin tersebut.

Seorang lagi rakan Facebook beliau, Motor Siber berkata, Najib menunjukkan contoh pemimpin Islam masa kini yang mencari jalan perdamaian sesama Islam menerusi lawatan itu.

"Alhamdulillah...inilah contoh pemimpin Islam masa kini yang mencari jalan perdamaian sesama Islam bukan memecah-belahkan Islam. Teruskan jihad membebaskan Palestin yang tercinta," katanya.

Selasa lalu, Najib mengadakan lawatan ke Gaza yang merupakan lawatan bersejarah memandangkan beliau merupakan Perdana Menteri Malaysia pertama menjejakkan kaki ke bumi Palestin.

Lawatan itu bagi melihat sendiri apa yang berlaku di Gaza dan dibuat atas faktor kemanusiaan selain merupakan simbol sokongan kuat Malaysia demi rakyat Palestin. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment