My Add

Wednesday 9 January 2013

Sokongan semakin ketara

Oleh NAZARUDIN SHAHARI dan FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
 
 *MUHYIDDIN Yassin dan Mohamad Hasan serta sebahagian pemimpin akar umbi menunjukkan isyarat 1Malaysia selepas majlis perjumpaan dengan pelbagai peringkat pemimpin akar umbi Negeri Sembilan di Seremban, semalam. - UTUSAN/Abd. Razak Aid

JEMPOL, SELASA, 08 Januari, 2013: Sokongan rakyat Negeri Sembilan terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) meningkat dengan ketara kini berbanding 2008.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, peningkatan itu disokong dengan data-data yang dibentangkan kepada beliau dalam pertemuan dengan pemimpin BN negeri di Seremban hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, sekiranya data itu kekal, BN negeri mampu memenangi pilihan raya akan datang dengan keputusan lebih baik.

"Di Negeri Sembilan tak ada masalah besar. Situasi sokongan rakyat sudah jauh meningkat lebih baik berbanding 2008, disokong data-data yang jelas.

"Dengan sokongan daripada rakyat, BN Negeri Sembilan mampu memenangi pilihan raya seterusnya membolehkan kerajaan meneruskan dasar memaju dan membangunkan rakyat dan negara," katanya ketika berucap dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di padang awam Bahau, di sini hari ini.

Lebih 15,000 rakyat daripada pelbagai lapisan peringkat membanjiri padang awam itu bagi beramah mesra dan mendengar ucapan para pemimpin.

Majlis yang bermula pukul 3 petang itu adalah sebahagian daripada atur cara lawatan sehari Muhyiddin ke negeri itu.

Yang turut hadir, isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri, para pemimpin politik dan para pegawai kanan kerajaan.

Dalam ucapannya, Muhyiddin turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM4.1 juta yang dipohon pelbagai peringkat kepimpinan negeri itu untuk pembangunan dan kemudahan penduduk di daerah Jempol.

Beliau turut menandatangani plak perasmian bangunan baharu Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Ladang Middleton yang berpindah dari lokasi asal di Jalan Batang Jelai ke Taman Desa Putri.

Muhyiddin turut menyampaikan Bantuan Khas Awal Persekolahan berjumlah RM20.65 juta untuk 206,500 pelajar sekolah di lapan daerah di negeri itu.

Muhyiddin kemudian meluangkan masa selama 30 minit melawat Pusat Peniaga Kecil Bahau, dekat sini.

Beliau turut berkesempatan menikmati minum petang bersama para peniaga di pusat berkenaan serta bertanya masalah dan isu yang dihadapi mereka.

Muhyiddin juga mengumumkan peruntukan sebanyak RM3.5 juta untuk membangunkan semula pusat peniaga berkenaan yang disambut gembira para peniaga tersebut. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment