My Add

Thursday 17 January 2013

Struktur Perlembagaan Persekutuan unik - Harding

KUALA LUMPUR, RABU, 16 Januari, 2013: Kejayaan negara mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang diwujudkan ketika era Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj semasa kemerdekaan negara pada 1957 adalah sesuatu yang cukup unik.

Pengarah Pusat Pengajian Asia, Universiti Nasional Singapura, Prof. Andrew Harding berkata, keunikan itu kerana Perlembagaan tersebut masih diguna pakai dan relevan sehingga hari ini, sedangkan kebanyakan negara sudah memansuhkan Perlembagaan asal mereka.

Sehubungan itu, beliau berkata, rakyat Malaysia sewajarnya berterima kasih kepada Tunku Abdul Rahman kerana menyediakan asas struktur politik dalam bentuk kontrak sosial dengan rangka kerja demokratik liberal bagi negeri-negeri baharu.

Harding yang 30 tahun mengkaji Perlembagaan Persekutuan berkata, faktor kejayaan itu adalah kerana Perlembagaan tersebut difahami, kekal relevan dan dilaksanakan dengan keikhlasan serta kerendahan hati pihak pelaksana.

"Dalam erti kata lain, apa yang penting dalam pemahaman Perlembagaan adalah mengguna dan memberi tafsiran terhadap Perlembagaan itu sendiri.

"Ini membawa maksud tiada Perlembagaan boleh berdiri sendiri kerana akan berlaku perubahan melalui undang-undang, pertukaran prosedur dan pentadbiran, keputusan kehakiman, tindakan eksekutif dan wacana politik dan debat awam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Perlembagaan di Malaysia: Reformasi dan Menuju Ke Hadapan pada hari terakhir Persidangan Transformasi Perundangan Berhubung Dengan Keselamatan dan Hak Asasi di sini hari ini.

Jelas Harding, pihak luar yang melihat pencapaian Malaysia sepanjang separuh abad ini seringkali mengutarakan soalan bagaimana negara yang mempunyai kepelbagaian etnik dan keagamaan boleh muncul sebagai sebuah negara dengan ekonomi dan sosial yang kukuh.

"Sebenarnya, kejayaan yang dicapai Malaysia hari ini memang tidak pernah dapat dibayangkan pada 1957.

"Bagi saya jawapannya ada dalam Perlembagaan yang mewakili perubahan idea-idea negara dan demokratik mengikut perintahnya (Perlembagaan)," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment