My Add

Wednesday 9 January 2013

Tatarstan pelawa Malaysia hantar pelajar - Anifah

PUTRAJAYA, SELASA, 08 Januari, 2013: Republik Tatarstan yang terletak dalam Persekutuan Rusia mempelawa Malaysia menghantar pelajar melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Kazan, ibu negeri wilayah tersebut.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, selain kerjasama dalam pengajian tinggi, Tatarstan juga mengesyorkan Malaysia membeli helikopter buatan negara itu yang dikatakan bermutu tetapi lebih murah berbanding keluaran negara lain.

"Kita telah berbincang mengenai pelbagai isu yang mempunyai potensi kerjasama, Tatarstan umpamanya amat berminat untuk memperluaskan hubungan perdagangan dan pelaburan.

"Satu lagi ialah potensi kerjasama industri halal dan perbankan Islam, terdapat kira-kira 18 juta penduduk beragama Islam di Rusia dan Tatarstan merupakan antara wilayah yang mempunyai penduduk muslim paling ramai,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Presiden Tatarstan, Rustam N. Minnikhanov di Kementerian Luar, di sini hari ini.

Minnikhanov kini dalam rangka lawatan tiga hari ke Malaysia dan kunjungan kali ini adalah yang kedua. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment