My Add

Wednesday 23 January 2013

Tebusan: Seorang daripada dua rakyat Malaysia disahkan terbunuh

KUALA LUMPUR, SELASA, 23 Januari, 2013: Kedutaan Besar Malaysia di Algiers, Algeria mengesahkan bahawa salah seorang daripada dua rakyat Malaysia yang dilaporkan hilang dalam insiden tebusan di kompleks minyak dan gas di In Amenas, telah terbunuh.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, pihaknya telah memaklumkan kepada keluarga mendiang Chong Chung Ngen berhubung berita tragis itu.

"Kerajaan Malaysia merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mendiang.

"Ketika ini, kedutaan sedang bekerjasama rapat dengan syarikat JGC Construction Pte. Ltd. menguruskan proses membawa pulang mayat ke Malaysia," katanya.

Dalam pada itu jelas Anifah, kerajaan amat prihatin tentang nasib seorang lagi rakyat Malaysia, Tan Ping Wee yang masih belum diketahui.

Kata beliau, kenyataan rasmi yang dikeluarkan pihak berkuasa Algeria tidak menyatakan butiran operasi menyelamat serta senarai lengkap tebusan yang hilang.

Sehubungan itu, kementerian telah menghantar seorang diplomat kanan untuk membantu Kedutaan Besar Malaysia di Algiers bagi mempercepatkan usaha mencari Ping Wee.

Langkah itu katanya, bagi memastikan koordinasi yang diselaraskan dengan pihak berkuasa Algeria dapat berjalan dengan lancar.

Mengenai tiga rakyat Malaysia yang disahkan selamat dan kini berada di Algiers, katanya, persediaan telah diatur pejabat kedutaan untuk Ravi Kappusamy dan Lau Seek Chiang dibawa pulang ke tanah air.

"Sementara itu, Patrick Purait Awang, secara sukarela berada di Algiers untuk sementara waktu bagi membatu kedutaan Malaysia mengenal pasti rakannya itu," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment