My Add

Thursday 10 January 2013

Tembak bomoh: Suami isteri, adik ditahan

SHAH ALAM, KHAMIS, 10 Januari, 2013: Polis menahan sepasang suami isteri dan adik perempuan lelaki terbabit bagi membantu siasatan kes seorang bomoh ditembak mati di sebuah pangsapuri di Seksyen 8, Kota Damansara dekat sini Jumaat lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Mohd. Adnan Abdullah berkata, pasangan suami isteri itu ditahan di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Ara Damansara, Petaling Jaya, kira-kira 6 petang Selasa lepas.

Beliau berkata, suspek lelaki berumur 43 tahun yang berasal dari Alor Setar, Kedah, merupakan bekas kapten kapal manakala isterinya yang berumur 41 tahun adalah seorang guru.

Bercakap pada sidang akhbar di sini hari ini, Mohd. Adnan berkata, adik perempuan lelaki terbabit yang berumur 31 tahun ditahan di rumahnya di Alor Setar kira-kira 7.30 pagi semalam.

"Ekoran tangkapan suspek di Alor Setar pula, polis merampas dua pucuk pistol Glock, dua magazin dan dua kotak peluru di tepi laut Kuala Kuar. Pistol berkenaan dipercayai diguna untuk menembak mangsa,” katanya.

Dalam kejadian 9 malam itu, mangsa berumur 43 tahun dan berasal dari Kedah maut di tempat kejadian selepas ditembak lebih dua das dari jarak dekat oleh suspek yang menaiki sebuah kereta.

Mangsa, pengamal perubatan tradisional, datang menumpang di rumah sepupunya di pangsapuri itu untuk memohon kerja sebagai pengawal keselamatan.

"Dengan tertangkapnya ketiga-tiga suspek, kami percaya kes ini telah selesai. Motif kejadian dipercayai akibat cemburu dan dendam,” katanya.— BERNAMA 

No comments:

Post a Comment