My Add

Sunday 20 January 2013

Tiba masanya Malaysia tubuh bank data mengenai kematian akibat lemas

KUALA LUMPUR, AHAD, 20 Januari, 2013: Masanya sudah tiba bagi Malaysia menubuhkan sebuah bank data mengenai kematian akibat lemas bagi menyimpan maklumat tentang gender, kumpulan umur, lokasi dan punca kejadian, kata Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH).

Dalam kenyataan hari ini, pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, langkah itu perlu diambil memandangkan sehingga kini, belum ada pihak berkuasa di negara ini yang mengumpul dan menyimpan data tentang kes lemas dan mengeluarkan laporan tahunan mengenainya, selain Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

"Malaysia perlu memberi fokus terhadap kes lemas yang semakin meningkat di negara ini, sama ada di pantai atau di tempat lain serta mengambil langkah proaktif untuk mencegah lebih banyak kematian dan meningkatkan keselamatan, bukan sahaja di pantai, tetapi juga di tempat lain, yang memungkinkan berlakunya kejadian lemas," katanya.

Beliau berkata, adalah menjadi tanggungjawab pihak berkuasa, pertubuhan dan agensi yang mempunyai bidang kuasa berkaitan kawasan pantai untuk mengenal pasti dan lebih penting lagi, meminimumkan risiko berlaku kecederaan dan kematian akibat lemas.

"Tanggungjawab ini tidak memadai dengan hanya memasang tanda amaran atau menyediakan peralatan keselamatan," katanya.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat, sebanyak 386 kes lemas dilaporkan pada 2011, manakala bagi sembilan bulan pertama tahun lepas, jumlahnya ialah 322.

"Banyak faktor yang menjadi penyebab berlakunya kes lemas seperti akses tidak terhad ke kawasan pantai, kurang pengetahuan dan kefahaman tentang keadaan air, kejahilan, sikap ambil mudah atau tersilap perkiraan tentang bahaya, ketiadaan pengawasan secara terus menerus dan kurang kesedaran serta pendidikan mengenai keselamatan di tempat berair dan cara menyelamatkan diri serta nyawa," katanya. 

Sambil menyifatkan strategi pengurusan keselamatan dan risiko adalah amat penting bagi mengurangkan kematian akibat lemas, Lee berkata pelaksanaan program pengurusan risiko yang berkesan mampu mengurangkan kejadian terbabit.

"Kita patut anjurkan pengawasan sewajarnya dilakukan di pantai dan tempat berair lain yang menjadi tumpuan ramai, menggubal peraturan sokongan yang mewajibkan penggunaan pelampung dalam semua kegiatan di kawasan berair dan mendidik ibu bapa tentang pentingnya mereka sentiasa mengawasi anak masing-masing ketika berada di pantai atau di kolam renang hotel," katanya.

Lee berkata, pendidikan tentang amalan keselamatan ketika melakukan kegiatan berkaitan air dan bahaya berkaitan air yang diurus secara teliti adalah antara langkah pencegahan yang perlu diguna pakai di negara ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment