My Add

Thursday 10 January 2013

Tingkatkan jenama Malaysia - Muhyiddin

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA

 *MUHYIDDIN Yassin menerima cenderamata daripada Dr. Hamidin Abd. Hamid (kiri) sambil diperhatikan oleh Siti Sa’diah Sheikh Bakir pada majlis penutup persidangan meja bulat Razak School of Government di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/Abdul Razak Latif

KUALA LUMPUR, RABU, 09 Januari, 2013: Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa sektor awam memainkan peranan penting bagi memastikan usaha kerajaan meletakkan Malaysia pada kedudukan jenama lebih baik di peringkat global berjaya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, bagi tujuan itu, sektor awam bukan sahaja perlu berubah mengikut peredaran masa dan tuntutan semasa tetapi mesti setara dengan sektor swasta dalam melaksanakan pelan secara efektif.

Tambahnya, ketika ini, indeks penjenamaan negara yang dikeluarkan Firma Penjenamaan Global, FutureBrand’s pada November tahun lalu meletakkan Malaysia di tangga ke-36 daripada 118 negara di seluruh dunia.

Untuk senarai 15 jenama negara utama masa depan (Future15) pula jelas beliau, Malaysia kini berada di tempat ketiga dan adalah penting kedudukan itu bukan sahaja dipertahan malah dipertingkatkan pada masa depan.

“Penting untuk kita semua menyedari jenama negara merupakan paksi kepada kekuatan sedia ada kita, bukan sekadar satu hasrat. Negara yang mempunyai jenama bagus akan lebih dikenali dan menjadi pilihan.

“Ia perlu berakar umbi kepada realiti dan ada hubung kait dengan rakyat, merangkumi bukan sahaja produk, tetapi urus tadbir, sosial dan modal insan serta pertumbuhan mapan," katanya dalam ucaptama pada majlis penutup sidang meja bulat Razak School of Government (RSOG) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif RSOG, Dr. Hamidin Abd. Hamid, Dekan Bersekutu Sekolah Perniagaan Universiti Oxford, Dr. Andrew White dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad, Datin Siti Sa’diah Sheikh Bakir.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, cabaran paling kritikal dalam membina jenama negara di peringkat global ialah bagaimana mahu memastikan rakyat Malaysia memainkan peranan sewajarnya selaku duta kecil negara.

Katanya, untuk mengubah persepsi masyarakat dunia ke atas sesebuah negara realiti sebenar yang berlaku dalam negara itu perlu diubah terlebih dahulu merangkumi pelbagai aspek sama ada politik, ekonomi dan sosial.

“Pada masa sama, setiap tindakan yang diambil kerajaan juga harus sesuai agar dapat membentuk asas sebagaimana sepatutnya jika kita mahu kempen menjenamakan negara ini berjaya," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment