My Add

Sunday 20 January 2013

Zambry puji komitmen jentera BN Padang Rengas

Oleh HASHIM P. MAMAT

 *DR. ZAMBRY Abd Kadir bersama Mohamed Nazri Aziz mengacau gulai kawah bersama penduduk kampung ketika majlis kenduri rakyat di Kampung Paya Reanggam, Padang Rengas hari ini. - UTUSAN/ROY AZIS ABD. AZIZ

PADANG RENGAS, AHAD, 20 Januari, 2013: Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir memuji kesungguhan jentera Barisan Nasional (BN) di kawasan ini yang bekerja keras bagi merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lubuk Merbau pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Menurut beliau, kesungguhan BN di kawasan itu menjadi pemangkin dalam usaha merampas kerusi tersebut daripada Pas selain mempertahankan kerusi DUN Chenderoh.

Berucap pada majlis perasmian Dewan Terbuka Belia Padang Rengas di sini semalam, Zambry yakin rakyat di kawasan itu melihat kesugguhan pemimpin BN termasuk Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang sentiasa turun padang menemui rakyat.

"Saya bukan kata kosong kerana ada check list (senarai semak). Kita tahu mana wakil rakyat yang buat kerja, kita juga tahu mana wakil rakyat yang turun kawasan atau tidak. Saya mahu sebut, wakil rakyat anda termasuk Ahli Parlimen cukup buat kerja.

"Beliau (Mohamed Nazri) selalu masuk kawasan hampir setiap minggu di sebalik jadual yang padat sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Begitu juga jentera parti-parti komponen yang lain, saya fikir mereka layak mendapat rating A tambah,'" katanya.

Perasmian dewan itu salah satu daripada 14 program sempena lawatan sehari Zambry dan Mohamed Nazri bersama kepimpinan BN di sekitar DUN Lubuk Merbau. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad; ADUN Chenderoh, Datuk Siti Salmah; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan dan Pegawai Kewangan negeri, Datuk Mohd. Ghazali Jalal. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment