My Add

Thursday 21 February 2013

12 peserta PABM layak ke separuh akhir

 *PESERTA kategori Antarabangsa, Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu 2013 yang layak ke separuh akhir (dari kiri) Miriam Balzano, Abdul Matin Mohammad Zaeem, Sara White, Daniel Krausse, Yang Tae Joong, Elena Melnikova, Derrick Fernando Jaramillo, Abdul Rahman Ibrahim Sieiman, Abdul Hamid Abdul Wahab, Zhang Yaq dan Karen Takahashi bergambar kenangan di PICC, Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA, RABU, 20 Februari, 2013: Seramai 12 peserta Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2013 bagi kategori Antarabangsa layak ke peringkat separuh akhir esok.

Penyelaras Bahagian Teknikal dan Penghakiman PABM, Mazlena Mohamad Hussain berkata, mereka yang layak merupakan peserta dari Ghana, Rusia, Amerika Syarikat, Australia, dan Korea Selatan.

"Turut layak peserta dari Jerman, Itali, Afghanistan, Jepun, Panama, China dan Jordan," katanya ketika mengumumkan keputusan PABM bagi kategori separuh akhir di sini hari ini.

Pertandingan hari ini bagi kategori Antarabangsa melibatkan 26 peserta dari 26 negara.

Kategori Nusantara menyaksikan persaingan 10 peserta iaitu dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei dan Thailand untuk merebut lima tempat ke separuh akhir.

Sementara itu, Mazlena berkata, bagi kategori Nusantara peserta yang layak adalah dua peserta Malaysia, Muhamad Hamizi Shaharuddin dan Mohd. Ikhwan Mohd. Rosseli.

"Turut layak dua peserta Indonesia, Ahmad Mulyadi dan Muhammad Zulfadhli Razali serta seorang peserta Brunei, Adi Aismat Lamat," katanya.

Beliau berkata, persembahan yang diberikan oleh peserta pada hari ini menunjukkan peningkatan dari semalam.

"Terdapat peserta mempunyai kedudukan mata yang sama, jadi pihak juri akan melihat dari purata markah keseluruhan untuk menentukan kedudukan," ujarnya.

Pertandingan akhir akan diadakan pada Jumaat ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Johan bagi kedua-dua kategori akan membawa pulang wang tunai bernilai RM21,665, Piala Perdana Menteri, piala iringan, hadiah dan sijil.

Naib Johan pula akan membawa pulang wang tunai bernilai RM15,475, piala iringan, hadiah dan sijil.

Tempat ketiga wang tunai bernilai RM9,285, piala iringan, hadiah dan sijil. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment