My Add

Wednesday 13 February 2013

25,500 rumah PR1MA dibina di Johor

KULAIJAYA, SELASA, 12 Februari, 2013: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan sebanyak 25,500 unit rumah mampu milik akan dibangunkan menerusi projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di kawasan Iskandar Malaysia di sini dalam tempoh tiga tahun.

Beliau berkata, sebanyak 15,500 unit rumah akan dibangunkan PR1MA bersama anak syarikat milik kerajaan negeri dan syarikat swasta, manakala 10,000 unit rumah lagi dibina oleh PR1MA menerusi Dana Mudah Cara yang disediakan kerajaan menerusi Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS).

Menurutnya, unit rumah yang dibangunkan PR1MA bersama kerjasama syarikat milik kerajaan negeri dan swasta akan dimajukan di atas tanah milik mereka dan perumahan dibina PR1MA pula dibangunkan atas tanah kerajaan Persekutuan di Tampoi dengan keluasan 80 hektar.

"Suka saya beritahu bahawa kerajaan mampu menjayakan usaha mewujudkan rumah mampu milik ini kepada rakyat dengan mengadakan kerjasama pihak swasta sekali gus dapat membangunkan projek PR1MA ini dengan cepat dan harga lebih murah daripada harga pasaran," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Cabutan Undi Projek Perumahan Nusantara Prima di Dewan Raya Bandar Putra di sini hari ini.

Cabutan sebanyak 201 rumah mampu milik Nusantara Prima yang dibangunkan menerusi PR1MA, projek dibangunkan hasil kerjasama Denia Development selaku pemaju dan UEM Land Holdings Bhd. sebagai pemilik tanah dijalankan pada majlis itu.

Dalam pada itu, beliau juga menegaskan pemilihan mereka yang layak memiliki rumah PR1MA itu dilakukan dengan telus oleh juruaudit, KPMG.

"Kita tak mahu serah kepada mereka yang tidak layak atau beri kepada sesiapa yang kita kenal. Tuduhan dasar pilih kasih yang dilontarkan juga dapat kita tepis kerana pemilihan dibuat dengan telus kerana kita tidak mahu berlaku seperti dalam pemilihan jawatankuasa kerja pusat DAP baru-baru ini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment