My Add

Friday 15 February 2013

3 lelaki ditahan, polis tumpaskan geng samun Boy Black

JOHOR BAHRU, JUMAAT, 15 Februari, 2013: Polis percaya berjaya menumpaskan kumpulan yang terlibat dengan sekurang-kurangnya 11 kes samun di bandar raya ini dengan penahanan tiga lelaki dalam dua serbuan berasingan dekat Kempas dan Kangkar Pulai, di sini Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Nusajaya, Supritendan Noor Hashim Mohamad berkata, ketiga-tiga mereka yang merupakan anggota kumpulan 'Boy Black' itu ditahan pada 3 petang dan 6.40 petang di dua rumah selepas polis mendapat maklumat berkaitan jenayah terbabit.

"Modus operandi mereka adalah memecah masuk ke dalam rumah dan mengacukan parang bagi menakutkan mangsa sebelum melarikan barangan berharga dan kereta mangsa," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Noor Hashim berkata, polis merampas pelbagai hasil samun dan peralatan yang digunakan untuk melakukan jenayah itu termasuk dua kamera, lima jam tangan, lapan telefon bimbit, satu kunci kereta jenis Toyota, alat pengering rambut, parang panjang, pisau, kapak dan sejumlah wang kertas beberapa negara yang dianggarkan berjumlah RM250.

Beliau berkata, ketiga-tiga mereka yang berumur 22 hingga 29 tahun itu mengaku terlibat dengan 11 kes samun di sekitar Nusajaya, Skudai dan Tampoi, di sini.

Katanya, suspek didapati positif dadah dan kini ditahan reman sehingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Sehubungan penahanan mereka, katanya, polis ingin meminta bantuan orang ramai bagi mengesan seorang lagi lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan tersebut untuk siasatan.

"Lelaki itu Siva a/l Muni Samy yang memiliki kad pengenalan bernombor 800303-01-5361 dan beralamat di nombor 4, Jalan Tembaga Merah 3, Taman Sri Skudai, di sini. Dia disenaraikan sebagai orang dicari polis dan mempunyai rekod berkaitan dadah dan menyebabkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya," katanya.- BERNAMA

No comments:

Post a Comment