My Add

Thursday 14 February 2013

3 pengarah skim pelaburan cepat kaya didakwa

SUNGAI PETANI, KHAMIS, 14 Februari, 2013: Seorang pengarah syarikat skim pelaburan penternakan cacing di Kulim, Kedah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tuduhan menawarkan kepada orang awam membeli kepentingan skim penternakan cacing walhal tidak mempunyai surat ikatan yang diluluskan.

Johari Saad, 50, mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu manakala dua lagi rakannya, Abdul Razak Ahmad, 49, dan Mohd Zaini Selaiman, 37, tidak mengaku bersalah. Mereka adalah pengarah syarikat Kulim Worm Agrotech (M) Sdn Bhd.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di syarikat Kulim Worm Agrotech, 293A Jalan Lunas-Kilang Lama, Kulim antara 13 Mei 2009 dan 4 Jun 2009.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 91(1) Akta Syarikat 1965 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 94(1) akta sama iaitu dipenjara sehingga lima tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin menetapkan 26 Mac ini untuk sebutan semula dan mendengar fakta kes sebelum menjatuhkan hukuman terhadap Johari.

Mereka dibenar diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin setiap seorang.

Ketua Seksyen Penguatkuasaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Wilayah Utara, Ramle Leen dengan dibantu Eksekutif SSM, Zolkapli Long @ Mohamad menjalankan pendakwaan manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.

Ketiga-tiga pengarah syarikat itu menyerah diri di pejabat SSM Wilayah Utara di Seberang Jaya semalam berikutan waran tangkap yang dikeluarkan agensi itu pada Jun tahun lalu.

Waran tangkap itu dikeluarkan selepas lebih 20 pelabur membuat laporan polis pada 2011 selepas tidak menerima dividen yang dijanjikan dan mendakwa mereka ditipu penganjur skim berkenaan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment