My Add

Sunday 17 February 2013

38 ditahan ketika pesta dadah, minuman keras

KUALA LUMPUR, AHAD, 17 Februari, 2013: Keghairahan sekumpulan remaja menganjurkan pesta dadah dan minuman keras di sebuah kondominium mewah di Jalan Sultan Ismail di sini pada malam minggu, berakhir dengan 38 orang ditahan dalam serbuan awal pagi ini.

Dalam serbuan pukul 2.30 pagi itu, mereka yang ditahan terdiri daripada 26 lelaki dan 12 perempuan yang berusia antara 18 dan 31 tahun.

Ketua Polis Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, ketika serbuan, terdapat di antara pengunjung pesta itu yang sedang khayal kerana menghisap ganja dan mengambil pil ekstasi.

“Hasil pemeriksaan, kami turut menjumpai sejumlah dadah jenis ganja, ekstasi dan Eramin 5.

“Kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk melakukan ujian air kencing. Hasilnya 22 orang didapati positif dadah manakala enam lagi memiliki dadah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Zainuddin, kumpulan tersebut sanggup menyewa unit itu dengan harga antara RM800 dan RM1,000 bagi melakukan pesta tersebut.

“Difahamkan setiap malam minggu sekumpulan remaja seramai 30 ke 40 orang akan mengunjungi lokasi ini. Mereka akan membawa makanan, arak, dadah serta PA sistem bagi pesta seperti ini," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment