My Add

Friday 15 February 2013

4 maut dalam nahas jalan raya berasingan di Pahang

KUANTAN, JUMAAT, 15 Februari, 2013: Empat termasuk seorang wanita warga emas maut dalam nahas jalan raya berasingan di Pahang, semalam.

Kemalangan pertama, yang berlaku pada 4.40 petang di Kilometer 26 Jalan Jerantut-Temerloh dan membabitkan empat kenderaan, menyaksikan S. Meenachi, 76, dari Taman Bukit Sireh, Kelantan mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Superintenden Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, nahas dipercayai berlaku apabila kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Caldina dari arah Temerloh menuju ke Jerantut memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah Proton Iswara.

"Selepas itu, Toyota Caldina terbabit bertembung pula dengan Proton Waja yang mengekori belakang Proton Iswara, menyebabkan Proton Waja berpusing beberapa kali sebelum merempuh Toyota Vios di belakangnya," katanya.

Beliau berkata, akibat pelanggaran itu, mangsa yang merupakan penumpang Proton Waja cedera parah di kepala dan badan.

Nahas kedua berlaku pada 4.55 petang di Batu 6, Jalan Kuantan-Gambang yang menyebabkan seorang pemandu van pasar malam Fazwan Hazrane Mohd Faizul, 31, meninggal dunia di tempat kejadian selepas tersepit di tempat pemandu.

Mohamed Fauzi berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika treler yang keluar dari simpang di kawasan itu dilanggar kenderaan mangsa yang datang dari arah Kuantan menuju ke Gambang.

Sementara itu, beliau berkata, seorang penunggang motosikal P. Thangarajoo, 37, terbunuh selepas kenderaannya bertembung sebuah bas ekpres yang dalam perjalanan dari Kota Baharu ke Kuala Lumpur pada 5.30 pagi di Kilometer 8.5 Jalan Bentong-Raub.

Katanya, mangsa maut ketika dalam perjalanan ke Hospital Bentong akibat cedera parah di kepala.

"Bas terbabit dipercayai terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh motosikal mangsa," katanya.

Di Pekan, seorang remaja lelaki Al-Anas Zulkepli, 18, dari Felda Chini maut selepas motosikalnya dilanggar sebuah kereta Proton Wira yang ingin masuk ke simpang kanan di Kilometer 3 Jalan Chini-Kuantan.

"Dalam nahas pada 10.45 malam itu, mangsa tercampak ke atas jalan dan parah di kepala sebelum mati semasa dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Pekan Chini," kata Mohamed Fauzi. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment