My Add

Monday 11 February 2013

500 orang beri penghormatan terakhir kepada Claudia

SEREMBAN, ISNIN, 11 Februari, 2013: Kira-kira 500 orang hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada penerbit berita Inggeris portal berita Al-Jazeera, mendiang Claudia Theophilus di Gereja Visitation, Jalan Yam Tuan, di sini, hari ini.

Adik mendiang, Dora Theophilus, 36, dalam ucapan ringkas dalam upacara berkenaan berkata, Claudia adalah seorang yang bertanggungjawab dan sangat mengambil berat kebajikan keluarga.

"Mendiang adalah tonggak dan harapan keluarga. Dia sangat mengambil berat dengan kesihatan ibu bapa kami serta melakukan segalanya bagi membahagiakan kami sekeluarga.

"Sepanjang bertugas sebagai wartawan, mendiang sangat rajin dan seorang yang fokus terutama isu masyarakat. Dia meninggalkan legasi hebat kepada sesiapa saja yang mengenalinya ketika hayatnya," katanya.

Selepas diberikan penghormatan terakhir di Gereja Visitation, mayat Claudia kemudian dibawa ke Pusat Pembakaran Mayat Templer di Jalan Tun Dr Ismail, di sini untuk dibakar. Abu mayat dijangka diserahkan kepada keluarga mendiang esok.

Claudia, 42, yang bertugas dengan rangkaian berita antarabangsa berpangkalan di Doha, Qatar, maut selepas terkena tembakan secara tidak sengaja di Lubnan ketika bercuti bersama dua rakannya di pergunungan Baakleen.

Mendiang pernah bekerja dengan akhbar The Sun dan portal berita Malaysiakini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment