My Add

Friday 8 February 2013

5,000 bakal berkumpul di Charok Batang Padi

KUBANG PASU, KHAMIS, 07 FebRUARI, 2013: Lebih 5,000 anak muda dijangka berkumpul di Charok Batang Padi, Tasik Pedu, Padang Terap bagi menyaksikan impak aktiviti pembalakan oleh kerajaan Pas Kedah, 9 Februari ini.

Aktiviti yang menjadi sebahagian daripada Kempen Selamatkan Bumi Kedah oleh Jaringan Gelombang Merah itu akan mengumpulkan ahli daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), penduduk, selebriti serta pemimpin masyarakat.

Menurut koordinator kempen tersebut, Anas Hafiz Mustafa, perhimpunan itu membolehkan golongan muda terbabit melihat sendiri kemusnahan yang berlaku atas nama pembangunan oleh kerajaan negeri itu.

"Selain menimbulkan kesedaran dalam kalangan masyarakat khususnya generasi Y ini, perhimpunan tersebut merupakan suara bagi melahirkan kebimbangan berhubung isu pembalakan yang berleluasa di negeri itu.

"Kini kerajaan negeri bercadang untuk melakukan pembalakan ke atas 1,000 hektar hutan lagi. Harapan kita sebagai generasi muda supaya aktiviti ini dihentikan demi masa depan kita juga," katanya dalam satu sesi taklimat di Jitra di sini hari ini.

Menurut Anas Hafiz, program tersebut dijangka berjalan lancar walaupun kawasan pembalakan berkenaan kini sudah dipagari oleh kerajaan negeri termasuk kehadiran papan tanda, Penceroboh Akan Didakwa.

"Kita menghormati arahan tersebut. Walaupun tidak dibenarkan masuk ke kawasan itu, kita akan berhimpun di kawasan tanah lapang berhadapan," katanya.

Menurut beliau, program akan dimulakan pada pukul 10 pagi dan turut dihadiri penyanyi yang cukup terkenal dengan lagu-lagu yang bermesejkan alam sekitar, Zainal Abidin.

"Majlis juga akan mengumpulkan lebih 10 jurucakap dalam kalangan pelajar, mahasiswa, NGO dan parti politik. Kami mengalu-alukan penyertaan orang ramai," katanya.

Dalam perkembangan lain kata beliau, Tweet #savekedah sejak diulang tulis Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 31 Januari lalu kini menjadi tumpuan lebih 235,000 pengguna Twitter.

"Kempen Selamatkan Bumi Kedah digerakkan oleh pelbagai NGO di bawah Jaringan Gelombang Merah bagi menonjolkan apa sahaja isu yang timbul di negeri ini terutama alam sekitar demi mewujudkan kesedaran rakyat Kedah tentangnya," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment