My Add

Friday 8 February 2013

6 ditahan disyaki edar dadah di Kuantan

KUANTAN, JUMAAT, 08 Februari, 2013: Polis menahan tiga lelaki dan tiga wanita yang disyaki terbabit dalam pengedaran dadah dalam serbuan di sebuah rumah sewa di Sungai Karang, dekat sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Abdul Aziz Ahmad, berkata kesemua yang ditahan dalam serbuan 10.30 malam Rabu lalu berusia 20 hingga 50 tahun.

"Polis menemui sejumlah 374 gram heroin dianggar bernilai RM12,000 disembunyikan dalam tin biskut di rumah itu, selain satu paket plastik lut sinar berisi serbuk dipercayai heroin di atas meja di sebuah bilik serta alat penimbang digital," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan itu mengaku mempunyai pertalian saudara dan mereka dipercayai aktif mengedar dadah di kawasan berkenaan sejak dua bulan lalu.

"Dua lelaki yang ditahan itu mempunyai 11 rekod jenayah membabitkan penyalahgunaan dadah," katanya.

Dalam kes berasingan, polis menahan seorang penoreh getah bagi membantu siasatan kes bunuh seorang ibu tunggal yang mayatnya ditemui dengan kesan luka di muka dalam paya berhampiran kebun getah miliknya di FELDA Bukit Tajau, Maran, 2 Februari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, SAC Zakaria Ahmad, berkata lelaki berusia 35 tahun itu ditahan di kawasan tanah perkuburan di FELDA itu, kurang 24 jam selepas mayat Rapingah Hashim, 58, ditemui pada jam 8.10 pagi. 

"Suspek yang juga jiran mangsa direman sehingga 10 Februari bagi membantu siasatan. Siasatan awal polis mendapati kejadian itu bukan bermotifkan samun," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mengenai kes bunuh seorang penghuni di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Gambang dekat sini 4 Februari lalu, Zakaria berkata, polis berjaya menyelesaikan kes itu dalam tempoh kurang 24 jam.

"Dalam kes itu, kami menahan 11 penghuni pusat berkenaan untuk disoal siasat dan seorang daripada mereka yang berusia 40 tahun mengaku bertanggungjawab," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment