My Add

Monday 18 February 2013

77 pemidato antarabangsa bahasa Melayu sertai bengkel

 *SEBAHAGIAN daripada peserta Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa
 Melayu menyertai bengkel persediaan untuk menghadapi pertandingan berkenaan
 di Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA, AHAD, 17 Februari, 2013: Semua 77 peserta Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2013 kini menjalani bengkel persediaan untuk menghadapi pertandingan yang berfungsi memartabatkan bahasa nusantara itu.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kebanyakan peserta yang tiba di Malaysia sejak kelmarin sedang mengikuti taklimat dan bengkel persediaan di Hotel Residence, dekat sini hari ini.

Peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan bagi memudahkan sesi latihan pidato berjalan dengan lancar.

Salah seorang peserta yang ditemui, Derrick Fernando Jaramillo dari Panama berkata, bengkel itu memberinya peluang untuk memantapkan mutu penyampaian pidato nanti.

"Bercakap dalam bahasa Melayu tidak ada masalah bagi saya, tetapi untuk menyampaikan pidato bukanlah satu perkara yang mudah dan ditambah pula ini merupakan pengalaman pertama saya dalam PABM.

"Saya memang perlu bantuan dan tunjuk ajar daripada mereka yang lebih berpengalaman," kata pelajar Universiti Monash Kampus Sunway itu.

Peringkat akhir PABM akan diadakan pada 22 Februari ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Sementara itu, bagi peserta Jepun, Karen Takahashi, penyertaan PABM pada kali ini merupakan percubaan kali pertamanya dalam pertandingan yang diadakan sejak 2007 itu.

"Saya mengetahui tentang pertandingan ini sejak tahun lepas di mana rakan senegara telah menyertainya.

"Saya akan cuba yang terbaik untuk menyampaikan pidato dalam bahasa Melayu dan tajuk yang dipilih adalah Malaysia di Hatiku," kata pelajar berusia 23 tahun yang sedang menuntut dalam jurusan Bahasa Melayu di Tokyo University of Foreign Studies itu.

Sementara itu, peserta Perancis, Dwi Sophiawati Soejitno berkata, beliau yang pertama kali menyertai PABM berbesar hati kerana berpeluang menyertainya.

Pelajar Ijazah Sarjana Ekonomi di Universiti La Rachelle itu menyifatkan bahasa Melayu begitu mudah untuk dipelajari berbanding bahasa lain.

"Saya sudah terdedah kepada bahasa Melayu sejak kecil lagi kerana ibu saya dari Surabaya, Indonesia, jadi saya sudah terbiasa.

Bagi peserta Australia, Courtney Seville, 22, beliau sedang membaiki persembahan bahasa Melayunya kerana sudah terbiasa dengan bahasa Indonesia.

"Sebelum ini saya pernah menuntut di Universiti Gadjah Mada (UGM) Yogyakarta untuk mendalami bahasa Indonesia.

"Untuk pertandingan ini saya meminta bantuan rakan dari Malaysia yang berada di sana untuk memperbetulkan sebutan saya," kata pelajar jurusan Undang-undang dan Perhubungan Antarabangsa Deccan University, Australia itu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment