My Add

Thursday 21 February 2013

Adnan yakin BN menang semua kerusi di Pahang

KUANTAN, KHAMIS, 21 Februari, 2013: Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob yakin Barisan Nasional (BN) dapat menguasai semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Beliau berkata, keyakinan itu berdasarkan kemahuan rakyat negeri ini yang mahukan kemenangan mutlak BN di 14 kerusi Parlimen dan 42 kawasan DUN di Pahang.

Pada masa ini BN mempunyai 12 kerusi Parlimen dan 38 DUN.

"Kami akan tunaikan kemahuan rakyat itu," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Buku 1Malaysia (BB1M) kepada pelajar Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) di sini, semalam.

Adnan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan BN Pahang berkata, persiapan jentera BN negeri kini berada pada tahap 100 peratus dan sedia digerakkan pada bila-bila masa.

"Kekuatan kami terletak pada keprihatinan wakil rakyat kami yang memberikan perhatian kepada rakyat miskin, warga emas, pelajar dan sebagainya dan dengan Kekuatan yang kami miliki itu jugalah kami mampu sapu bersih kali ini," katanya.

Ditanya mengenai pemilihan calon untuk pilihan raya umum kali ini, Adnan berkata, setiap rakyat mahukan calon yang boleh menang dan boleh bekerja untuk mereka.

Beliau berkata, setiap kali pilihan raya umum diadakan, terdapat sehingga 30 peratus calon di negeri ini terdiri daripada muka baharu.

"Kami ada banyak pilihan calon, cari calon tak susah sebab semua nak jadi calon tapi nak pilih calon yang boleh menang tu yang susah," katanya.

Sementara itu, beliau berharap pelajar Polisas memanfaatkan pemberian BB1M dengan membeli buku rujukan dan peralatan pembelajaran bersesuaian dengan bidang pengajian masing-masing. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment