My Add

Friday 15 February 2013

Alasan mudah tutup muafakat UMNO-Pas

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 14 Februari, 2013: Alasan ditipu oleh UMNO dalam peristiwa penyingkiran Pas daripada Barisan Nasional (BN) pada 1978 merupakan jalan mudah yang sering diambil Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Nik Mat bagi menutup pintu permuafakatan masyarakat Melayu di negara ini.

Aktivis Pas, Norman Toha berkata, alasan yang diberikan Nik Abdul Aziz sememangnya tidak wajar kerana kemelut kepemimpinan dan persaingan merebut ahli pada era itu turut menjadi faktor kepada kemelut peristiwa tersebut.

Katanya, persengketaan di antara Presiden Pas ketika itu, Datuk Mohd. Asri Muda dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohamad Nasir telah menyebabkan krisis besar di Kelantan sehingga darurat terpaksa diisytiharkan di negeri itu pada tahun 1977 dan Pas tidak lagi berkuasa di Kelantan selepas pilihan raya umum 1978.

Jelas beliau lagi, masalah juga berlaku disebabkan pertembungan antara UMNO dengan Pas di peringkat umbi kerana Mohd. Asri merupakan Menteri Tanah dan Galian giat mempromosikan Pas dalam kalangan peserta Felda.

"Keadaan memang agak tidak terkawal tetapi apa yang kita diberitahu oleh kepemimpinan Pas terutamanya Nik Abdul Aziz, seolah-olah Pas tertipu dalam BN, seolah-olah Pas digunakan dalam keadaan terdesak dan bila BN kembali kuat, Pas ditendang keluar begitu sahaja.

"Itu apa yang kita diberitahu tetapi hakikat dari segi fakta sejarahnya, saya mengambil kesimpulan bahawa faktor insiden itu tidak boleh diletakkan 100 peratus kepada UMNO yang menyebabkan Pas keluar dari BN," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan UMNO tidak pernah menipu atau menjadi punca perpecahan Pas sehingga membuatkan parti tersebut mengambil langkah tidak sehaluan dengan BN dan akhirnya disingkirkan pada 1978.

Menurut bekas Perdana Menteri, apa yang dinyatakan Nik Abdul Aziz bahawa Pas telah ditipu UMNO semasa parti itu berada dalam BN adalah tidak benar malah tidak dijelaskan secara terang.

Sementara itu, menurut seorang bekas aktivis Pas, Taharuddin Yaakob, peristiwa penyingkiran Pas dari BN pada 1978 juga telah membawa kepada gerakan dalaman parti itu untuk menjatuhkan Mohd. Asri daripada tampuk kepemimpinan.

Beliau memberitahu, Mohd. Asri telah diaibkan oleh ahli-ahli Pas sendiri apabila dikatakan tidak layak menjadi Presiden kerana bukan seorang ulama sebaliknya hanya nasionalis Islam.

"Bila dilihat kembali, saya bersyukur telah keluar dari Pas kerana adakah Timbalan Presiden Pas hari ini, Mohamad Sabu layak dikatakan sebagai ulama?

"Lihat sahaja Naib-Naib Presidennya hari ini daripada Salahuddin Ayub, Datuk Mahfuz Omar hingga Datuk Husam Musa, adakah mereka juga ulama? Hairannya, Nasharudin Mat Isa yang tinggi ilmu agama diketepikan begitu sahaja," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment