My Add

Thursday 21 February 2013

Ambil alih air: Rozali kesal kenyataan MB Selangor

Oleh SUWARNI MOKHTAR (Utusan Online)
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 21 Februari, 2013: Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga, Tan Sri Rozali Ismail hari ini menyatakan rasa kesal terhadap kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung isu pengambilalihan industri air di Selangor.

Rozali juga menyifatkan kenyataan Abdul Khalid itu sebagai tidak bertanggungjawab dan berbau politik.

Berikut kenyataan penuh Rozali:

PUNCAK NIAGA KESAL DENGAN KENYATAAN MENTERI BESAR SELANGOR
 BERKAITAN DENGAN TAWARAN PENGAMBIL ALIHAN INDUSTRI AIR DI SELANGOR

 ROZALI ISMAIL.... Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga.
"Puncak Niaga Holdings Berhad hari ini mengesahkan telah menerima surat daripada pihak Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) bagi pihak Kerajaan Negeri Selangor berkaitan dengan tawaran pengambilalihan dua anak syarikat Puncak Niaga Holdings iaitu Puncak Niaga (M) Sdn. Bhd. dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (SYABAS). Surat diterima melalui faksimili pada jam 5.15 petang hari Rabu 20 Februari 2013.

Berkaitan dengan itu, pihak Puncak Niaga akan meneliti tawaran tersebut dengan membuat kajian yang menyeluruh dan terperinci mengikut semua prosedur syarikat sebelum membuat sebarang keputusan mengenainya. Ini termasuklah mendapatkan pandangan dan kelulusan ahli lembaga pengarah, para pemegang saham minoriti, pihak pihak yang ada kepentingan dengan kedua-dua syarikat ini termasuk institusi kewangan dan lain-lain instrument jaminan serta badan badan berkuasa.

Selain itu juga, Puncak Niaga perlu mendapatkan pandangan daripada Kerajaan Persekutuan selaku pemegang saham emas di dalam SYABAS. Pada masa yang sama syarikat perlu untuk menentukan apa apa perkara yang kurang jelas (ambiguity) dalam surat tawaran tersebut sekiranya ada.

Dalam hal ini, saya selaku Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga ingin melahirkan rasa kesal dan kecewa dengan kenyataan YAB Menteri Besar Selangor apabila mengatakan bahawa jika syarikat konsesi menolak tawaran tersebut ianya bermakna menolak tawaran rakyat Selangor. Sebagai seorang bekas tokoh korporat, Menteri Besar sepatutnya lebih memahami bagaimana sesebuah syarikat terutama syarikat yang disenaraikan di Bursa Saham beroperasi.

Mengeluarkan kenyataan sedemikian memberikan gambaran bahawa Menteri Besar langsung tidak memahami bagaimana sesebuah entiti perniagaan berstatus syarikat terbitan awam beroperasi dan tidak memperakui perkara perkara yang terkandung di dalam Perjanjian Konsesi.

Ingin ditegaskan disini bahawa kebanyakan stakeholders Puncak Niaga dan SYABAS adalah rakyat Selangor juga. Para pelanggan SYABAS yang berjumlah lebih 7 juta orang adalah majoritinya rakyat Selangor. Para pemegang saham minority Puncak Niaga Holdings Berhad yang menyumbang 58.75% saham terbitannya juga majoritinya rakyat Selangor.

Kakitangan SYABAS dan Kumpulan Puncak Niaga juga majoritinya rakyat Selangor. Adakah semua stakeholders SYABAS dan Puncak Niaga ini menyokong Kerajaan Negeri Selangor atau apa sahaja tindakan Menteri Besar terhadap tawaran ini?.

Oleh itu, mengaitkan tawaran tersebut sebagai tawaran rakyat dan menolaknya sebagai menolak tawaran rakyat Selangor adalah kenyataan yang amat tidak bertanggungjawab dan tidak wajar sama sekali malah berbau politik. Lebih menghairankan kenyataan tersebut seolah-olah hanya ditujukan kepada pihak SYABAS dan Puncak Niaga sahaja apabila YAB Menteri Besar secara khusus menyebut nama saya selaku Pengerusi Eksekutif agar tidak memprejudiskan perkara ini. Bagaimana pula dengan syarikat syarikat lain seperti Konsortium Abass dan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (SPLASH) yang turut ditawarkan dan bagaimana jika mereka juga menolak tawaran tersebut sepertimana yang berlaku dalam beberapa tawaran sebelum ini?

Menteri Besar turut menyatakan semasa sidang akhbar bahawa tawaran Kerajaan Negeri ini mesti diterima oleh syarikat-syarikat konsesi dengan memberi gambaran seolah-olah ini adalah keperluan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang mana tafsiran ini sebenarnya adalah tidak tepat kerana Akta ini sebenarnya mengusulkan penghijrahan ke regim perlesenan syarikat syarikat terlibat dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan bukannya seperti dimaklumkan oleh YAB Menteri Besar.

Juga perlu dinyatakan disini bahawa dalam industri yang melibatkan perkhidmatan utiliti khususnya air, faktor keuntungan bukanlah merupakan matlamat mutlak syarikat tetapi lebih dari itu ialah kualiti perkhidmatan yang diberikan kepada pengguna. Tiada gunanya menyerahkan industri ini kepada Kerajaan Negeri yang akhirnya nanti pengguna menerima perkhidmatan yang jauh lebih rendah dari yang telah diberikan oleh syarikat syarikat konsesi ini seperti yang terjadi sebelum penswastaan industri bekalan air di Selangor dilaksanakan.

Kenyataan Menteri Besar itu sebenarnya dilihat lebih untuk memberi tekanan dan mengugut Syarikat syarikat konsesi agar menerima tawaran Kerajaan Negeri walaupun ianya bertentangan sama sekali dengan etika pengurusan korporat dan amat tidak wajar dikeluarkan oleh seorang bekas tokoh korporat." - UTUSAN

1 comment:

  1. Masalah air ni tak selesai hatta 100, 200 atau seribu tahun pun kalau MB Khalid tak habis2 nak menyalahkan syarikat air. Jalan penyelesaiannya bukan ambil alih syarikat air, tapi duduk semeja, bermuhasabah diri dan berlapang dada memikirkan strategi ampuh bagaimana mahu menyelesaikan krisis air ni untuk tempoh masa panjang. Tapi, kalau MB masih berdegil dan keras hati ikut hati dan nafsu politiknya, maka tak lamalah MB di S'gor ni. Samada ditolak secara terhormat oleh rakyat di PRU nanti atau dipecat daripada PR. Sendiri fahamlah kan.

    ReplyDelete