My Add

Friday 22 February 2013

Anak mangsa kemalangan bas sedih hilang 2 insan tersayang

TAPAH, JUMAAT, 22 Februari, 2013: Mohd. Amin Abdul Rahman, 32, anak kepada mangsa maut dalam tragedi kemalangan bas pagi tadi, tidak menyangka kepulangan ayahnya ke Pulau Pinang untuk menziarahi jenazah datuknya turut menyebabkan beliau kehilangan ayah tercinta.

Mohd. Amin yang merupakan anak kedua daripada enam beradik berkata beliau turut kehilangan datuknya yang meninggal dunia akibat sakit tua di Bagan Ajam, Seberang Perai pada 11 malam tadi.

"Bila dapat tahu Tok Wan meninggal saya terus menziarahinya kerana kebetulan saya ada kerja di Pulau Pinang. Saya hubungi mak dan ayah bagi tahu perkara ini dan menyatakan kepadanya yang saya tunggu di sini (Pulau Pinang).

"Saya minta mak dan ayah naik bas pagi ini, bila telefon mak kira-kira 12 malam tadi, mereka sudah berada dalam bas menuju ke Pulau Pinang," katanya kepada pemberita di Hospital Tapah di sini hari ini.

Dalam kejadian 7 pagi tadi, mangsa yang maut ialah pemandu bas ekspres, Mohd. Anuar Jantan, 42, dan penumpang bas, Abdul Rahman Noh, 59.

Mohd. Amin yang bekerja sebagai pengedar minuman berkata dia terkejut mendengar berita menyedihkan itu selepas menerima panggilan daripada ibunya pagi tadi.

"Bila dapat tahu mereka terlibat dalam kemalangan dan ayah meninggal dunia, saya bergegas ke Hospital Tapah kerana mayat dihantar ke hospital ini," katanya yang berasal dari Kempas Jaya, Johor Baharu.

Sementara itu, di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, seorang penumpang yang terselamat, Mohd. Khaizul Safiee, 29, berkata dia tidak menyangka bas yang dia naiki terbabit dalam kemalangan.

"Ada beberapa penumpang meminta pemandu memandu lebih laju kerana bas dipandu terlalu perlahan. Tetapi pemandu bas ada bagi tahu dia sangat penat," katanya.

Katanya, bas terbabit bertolak dari Johor Baharu kira-kira 11.30 malam sebelum berhenti di Hentian Pudu Sentral 5 pagi tadi untuk menukar bas.

Beliau berkata, dalam kejadian itu kebanyakan penumpang cedera di kepala akibat terhantuk pada tempat duduk penumpang di hadapan manakala sebahagiannya terperosok di bawah tempat duduk. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment