My Add

Thursday 21 February 2013

Belajar bahasa Melayu melalui drama Manjalara


PUTRAJAYA, RABU, 20 Februari, 2013: Pembelajaran secara tidak formal dengan menonton program televisyen menjadi pilihan peserta Tanzania, Hawa Omar Abdallah Semasaba untuk belajar bahasa Melayu.

Gadis berusia 22 tahun itu menyifatkan bahasa Melayu merupakan bahasa yang unik dan mudah untuk dipelajari, jadi dia tidak perlu untuk ke mana-mana institusi pengajian tinggi untuk mempelajarinya.

Pelajar jurusan Komunikasi Massa Universiti Dar Es Salam, Tanzania itu berkata, segalanya bermula apabila dia menonton drama Manjalara yang disiarkan di negaranya.

"Saya hanya berpandukan kepada senikata yang diterjermahkan dalam bahasa Tanzania, Swahili untuk memahami bahasa Melayu serta jalan ceritanya.

"Sungguh menarik walaupun saya tidak mengenali pelakon-pelakon cerita itu, tetapi saya suka melihat watak gadis gemuk yang kemudian menjadi cantik dan kurus itu," katanya.

Peserta itu berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas saringan awal Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2013 bagi kategori Antarabangsa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Selain Manjalara, Hawa berkata, dia juga berminat dengan sinetron Indonesia, Bawang Putih Bawang Merah dan secara tidak langsung membolehkannya mengetahui kedua-dua bahasa nusantara itu.

Katanya, bersandarkan minat yang mendalam, dia mula mencari lagu-lagu bahasa Melayu di Youtube dan Applestore.

"Ini kerana sukar untuk mendapatkan lagu Melayu di Tanzania kerana bahasa Melayu masih asing di sana.

"Saya suka mendengar lagu dari Ella, Amy Search, lagu mereka sangat sedap biarpun saya tidak mengetahui nama lagu itu," ujar anak sulung daripada 10 adik-beradik itu.

Peserta yang sudah kali kedua memasuki PABM itu menambah, minat untuk mempelajari bahasa Melayu itu turut diikuti oleh adik-beradiknya yang lain.

"Dua adik saya kini mula mengambil kursus bahasa Melayu di institusi pengajian tinggi secara dalam talian," katanya.

Berkongsi pengalaman sama adalah peserta Uzbekistan, Sardor Rafikov yang mempelajari bahasa Melayu melalui rakyat Malaysia di negaranya.

"Disebabkan minat kepada bahasa Melayu saya mempelajarinya secara tidak formal dengan pekerja Petronas yang ada di sana.

"Bahasa Melayu agak mudah untuk dipelajari dan sungguh menarik," kata pelajar Universiti Kejuruteraan dan Ekonomi Uzbekistan itu.

Pemuda berusia 24 tahun itu berkata, dia juga meminati filem Hantu Kak Limah Balik Kampung dan suka mendengar lagu Gemuruh nyanyian Faizal Tahir.

"Secara tidak langsung saya dapat belajar melalui kaedah ini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment