My Add

Friday 22 February 2013

Beri sumbangan disukai Allah, sujud syukur menerimanya - Noh Gadut

Oleh SUWARNI MOKHTAR 
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 22 Februari, 2013: Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadut menegaskan, memberi sumbangan kepada orang lain terutama orang Islam adalah salah satu perkara yang amat disukai oleh Allah Taala.

Seseorang pula digalakkan menerima pemberian tersebut malah adalah wajar mereka melakukan sujud syukur atas penerimaan sumbangan tersebut.

"Kalau yang miskin tidak dibantu, berkemungkinan akan berlaku murtad atau pelacuran.

"Kalau ada sumbangan, kita boleh menghindari mereka ini dari maksiat atau mencari bantu di tempat yang tidak sepatutnya seperti di gereja," katanya ketika dihubungi oleh Utusan Online di sini hari ini.

Tambah Noh, apa yang penting, pemberian itu menyeluruh dan menepati syarat seperti membabitkan orang miskin dan fakir, ibu tunggal, golongan kurang upaya serta anak yatim, tambah tokoh agama tersebut.

Menjawab soalan mengenai tindakan mengaitkan sesuatu pemberian itu sebagai bermotif politik, Noh mengatakan, seseorang itu tidak boleh mengetahui niat seseorang penyumbang.

"Kalau diberi kepada golongan tertentu baru ia boleh dianggap politik," katanya.

Beliau bagaimanapun enggan memberi sebarang ulasan mengenai kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M 2.0) seperti memberikan hampas kelapa dan padi serta jerami kepada ayam dan lembu.

Tambahnya, apa yang diperkatakan beliau adalah secara umum berdasarkan al-Quran dan hadis.

Selain itu, Noh turut mengatakan, sekiranya terdapat sebarang kekeliruan mengenai sesuatu perkara, masyarakat umum perlu mengambil pandangan mereka yang mempunyai autoriti sebagai contoh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan.

"Apa-apa pandangan yang bertentangan dengan apa yang telah difatwakan atau diwartakan di negeri-negeri, hanyalah pandangan peribadi," tegasnya. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment