My Add

Friday 15 February 2013

BN perlu majoriti besar laksana pelbagai program pembangunan

BERA, JUMAAT, 15 Februari, 2013: Kerajaan Barisan Nasional (BN) memerlukan majoriti besar pada pilihan raya umum ke-13 nanti bagi meneruskan kesinambungan program pembangunan untuk rakyat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, rakyat perlu bijak dalam menilai kerajaan sedia ada yang sememangnya tidak pernah memungkiri janji bagi meningkatkan taraf hidup mereka.

"Kerajaan BN tidak berjanji kosong, malah setiap yang dijanjikan tetap ditunaikan, contohnya Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), bantuan persekolahan, bantuan kepada golongan belia dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan BR1M 2.0 kepada penduduk kawasan Parlimen Bera di sini, hari ini.

Beliau berkata, rakyat juga perlu bijak menilai kerajaan negeri yang dipimpin parti pembangkang yang ternyata gagal menunaikan janji yang mereka taburkan sebelum pilihan raya umum lepas.

"Kerajaan Selangor di bawah pemerintahan PKR misalnya, telah membuat 25 janji sebelum pilihan raya umum lepas termasuk memberikan elaun (RM100 sebulan) kepada ibu tunggal, bantuan kepada kanak kanak tadika, subsidi air dan lain lain, tetapi tiada satu pun yang ditunaikan.

"Kini rakyat di negeri itu telah menyaman kerajaan negeri tersebut," katanya.

Beliau berkata rakyat perlu terus meletakkan kepercayaan kepada kepimpinan kerajaan BN bagi meneruskan agenda mencapai Wawasan 2020.

"Kerajaan BN mampu melaksanakan pembangunan untuk rakyat kerana kedudukan ekonomi negara kini semakin mengembang, malah tempoh tiga tahun ini ekonomi negara semakin baik berbanding dengan sesetengah negara lain di dunia yang ekonominya merudum berikutan ekonomi global yang tidak menentu," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment