My Add

Tuesday 12 February 2013

DAP didakwa amal polarisasi kaum untuk raih sokongan

MUAR, ISNIN, 11 Februari, 2013: Polarisasi kaum hanya berlaku dalam DAP berikutan parti itu dilihat terlalu yakin akan mendapat sokongan padu kaum Cina pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim berkata, situasi tersebut amat tidak baik dan tidak sesuai dalam negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum, walaupun perkara polarisasi kaum pernah berlaku dalam PRU sebelum ini.

Menurutnya, perkara itu dikhuatiri akan menjejaskan usaha memperkukuhkan perpaduan kerana rasa sangsi serta ketidakpercayaan dalam kalangan rakyat sendiri yang akhirnya memberi kesan kepada PRU-13 disebabkan masalah perkauman yang timbul.

"Saya ingin tekankan di sini, suatu ketika dahulu DAP menuduh UMNO sebagai parti perkauman yang tidak akan dapat membangunkan negara sebagai negara maju.

"Sebaliknya kita lihat perbalahan yang berlaku semasa pemilihan jawatan anggota jawatakuasa tertinggi pusat (CEC) DAP melibatkan dua pemimpin yang akhirnya jawatan itu diberikan kepada pemimpin Melayu," katanya pada sidang akhbar di Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Parlimen Muar di Parit Jawa, di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan bahawa PRU-13 bakal menyaksikan polarisasi kaum paling ketara sejak negara merdeka, berikutan beberapa isu seperti hudud, pemilihan ECE DAP dan terbaru isu sensitif seperti kalimah Allah.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Muar merangkap Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, tindakan sedemikian hanyal mahu menutup sikap rasis parti itu dan kononnya DAP adalah sebuah parti yang dikatakan pelbagai kaum.

"Saya berani kata DAP rasis sebab mereka sering kata orang Cina akan mengundi parti ini, sebaliknya UMNO, MCA dan MIC bergabung dalam Barisan Nasional (BN) untuk bertanding dalam PRU sebagai parti pelbagai kaum.

"Beritahu saya, negeri mana di bawah pemerintahan BN ditadbir orang-orang Melayu dikatakan ditadbir orang Melayu, tidak adakan? Sebaliknya DAP di Pulau Pinang mendakwa ia ditadbir orang Cina, Pas pula yang mentadbir Kelantan, kata negeri itu ditadbir oleh orang Melayu," katanya.

Kenyataan tersebut katanya, tidak baik kerana ia boleh mencetuskan penentangan mengikut kaum sehingga menjadi polemik perkauman yang ketara dalam negara ini.

"Begitu juga dengan isu di Kampung Buah Pala yang menjadi polemik perkauman adalah dicetuskan oleh pembangkang terutamanya DAP untuk memburukan kerajaan BN," katanya.

Beliau juga menegaskan sebarang rancangan untuk mencetuskan 'Arab Spring' selepas pilihan raya umum perlu disekat di peringkat awal bagi memastikan keamanan negara tidak terheret dalam konflik politik seperti di Asia Barat.

Katanya, kerajaan perlu bersiap sedia dengan ancaman yang didakwa dirancang oleh pembangkang jika kalah pada pilihan raya umum.

"Rakyat juga perlu fikir, bersatu padu dan tolak mereka ini dalam pilihan raya umum akan datang. Kita perlukan kemenangan majoriti dua pertiga dan ia amat penting, dengan kuasa dua pertiga itu banyak perkara lagi yang boleh dilakukan untuk rakyat.

"Jika kerajaan sedia ada tidak dapat bentuk dua pertiga majoriti amat payah untuk kita bawa agenda lebih besar kepada perubahan negara," katanya.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, 'Arab Spring' sekadar alat bagi merealisasikan hasrat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri.

Sementara itu, Razali berkata, peringatan Dr. Mahathir tentang Melayu akan hilang kuasa politik jika tidak bersatu dalam PRU-13 perlu diambil serius kerana pandangan tersebut berasas berdasarkan senario politik masa kini.

Mengenai PRU-13 kali ini yang dikatakan sebagai paling perkauman dalam sejarah pilihan raya di Malaysia, beliau berpandangan Barisan Nasional (BN) tidak menyumbang ke arah itu kerana calon-calonnya walaupun bertanding atas tiket UMNO, MIC, MCA atau parti komponen lain tetapi sebenarnya bersifat nasional dan mewakili semua kaum. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment