My Add

Saturday 16 February 2013

DAP-Pas retak tunggu belah

Oleh SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH
 
 *DARI kiri: Bekas Setiausaha Publisiti DAP Selangor, Tan Tuan Tat, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim, Koordinator BN Selangor, Mohd. Zin Mohamed, Dahalan Marsono, Pengasas dan Penasihat GASSM, Abdul Manap Sahardin pada sidang media di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, semalam. - UTUSAN/ZAKI AMIRUDDIN

SEPANG, JUMAAT, 15 Februari, 2013: Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim menyifatkan kerjasama antara DAP dan Pas dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang umpama cuba mempertahankan perkahwinan yang sudah retak menanti belah.

Katanya, kedua-dua pihak bukan sahaja tidak mempunyai hala tuju sama tetapi mempunyai masalah mencapai kata sepakat dalam isu asas.

Malah, katanya, DAP dan Pas sering bertelagah dalam isu agama seperti kalimah Allah dan hukum hudud.

"Hubungan mereka tidak utuh sepenuhnya hanya perkahwinan sementara untuk menghadapai Pilihan Raya Umum ke-13 tetapi hakikatnya hari-hari ada masalah.

"Kalau mereka hendak duduk rumah itu (kerjasama pakatan pembangkang) juga, itu bukan idea yang bagus kerana perkahwinan itu sudah gagal," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Gerakan Aktivis Sahabat Sayangi Malaysia (GASSM) di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), di sini hari ini.

Yang hadir sama, Kordinator BN Selangor, Datuk Seri Mohd. Zin Mohamed dan Pengerusi GASSM, Dahalan Marsono.

Menurut Tunku Abdul Aziz, lebih parah, kedua-dua parti itu juga tidak sepakat dalam memilih Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri jika menang dalam pilihan raya umum akan datang.

"Kerjasama mereka ini boleh diibaratkan seperti tiga orang berlari sambil mengikat kaki tetapi seorang ke arah lain seorang lagi ke tempat lain.

"Sebab itu rakyat perlu memilih parti yang betul dalam pilihan raya nanti, gunakan akal fikiran yang waras bukan hati semasa memangkah nanti," katanya.

Tunku Abdul Aziz berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak merdeka lagi sudah berjaya melakukan perubahan besar kepada negara malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bekerja gigih untuk mentadbir Malaysia.

Dalam pada itu, beliau turut menggelar pakatan pembangkang sebagai 'otak beku' kerana sudah lama menjadi pembangkang dan hanya tahu bermain politik untuk memecah-belahkan rakyat. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment