My Add

Wednesday 13 February 2013

DAP yakin Pas sokong Anwar

Oleh MOHD. FIRDAUS ISMAIL
PULAU PINANG, SELASA, 12 Februari, 2013: Pengerusi DAP, Karpal Singh yakin Pas akhirnya akan tetap menyokong keputusan pakatan pembangkang yang memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sekiranya mereka menang dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor berkata, perkara itu telah dipersetujui oleh partinya bersama Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum ini dan menganggap dakwaan Majlis Syura Pas menolak Anwar selaku Perdana Menteri adalah spekulasi semata-mata.

"DAP memilih Anwar untuk memegang jawatan berkenaan dan yakin pada akhirnya, keputusan ini akan disokong oleh Pas dan PKR kerana beliau merupakan calon paling layak untuk memimpin negara.

"Mengenai Anwar ditolak Majlis Syura, saya berpendapat perkara itu tidak ada kepastian kerana Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menafikannya," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sebelum ini, terdapat ura-ura berkenaan penolakan Majlis Syura Pas mengenai pelantikan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu sebagai Perdana Menteri jika pakatan pembangkang berjaya menawan Putrajaya dalam PRU-13.

Sementara itu, Karpal mengulangi penegasannya agar Majlis Syura Ulama Pas menghormati keputusan bersama yang dicapai pemimpin pakatan pembangkang tentang isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

"Isu kalimah Allah telah dibincangkan dalam pertemuan pada bulan lalu dan itulah pandangan rasmi ketiga-tiga parti.

"Jadi perkara tersebut tidak seharusnya dijadikan isu lagi kerana pendirian sebelum ini telah jelas," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment