My Add

Monday 18 February 2013

Eksport 2012 Malaysia ke AS naik 5.4 peratus

NEW YORK, AHAD, 17 Februari, 2013: Ketidaktentuan ekonomi dan pilihan raya di Amerika Syarikat (AS) menyebabkan pembeli mengambil sikap tunggu dan lihat, namun eksport Malaysia ke negara itu melonjak kepada RM60.79 billion, meningkat 5.4 peratus berbanding 2011.

Pejabat Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di New York berkata, import dari AS ke Malaysia bagaimanapun merosot sebanyak 11.4 peratus kepada RM49.90 billion

Pesuruhjaya Matrade, Muhd. Shahrulmiza Zakaria dalam kenyataannya berkata, pertumbuhan eksport Malaysia ini terjadi ketika ketidaktentuan ekonomi mencorakkan dagangan.

"Tahun 2012 juga merupakan tahun pilihan raya apabila pengimport berhati-hati dalam menanti petunjuk lebih jelas tentang dasar rasmi," katanya.

Amerika Syarikat, terus menjadi rakan perdagangan keempat terbesar Malaysia selepas China, Singapura dan Jepun, menyumbang sebanyak 8.7 peratus daripada jumlah eksport Malaysia.

Secara perbandingan, eksport Malaysia ke Kesatuan Eropah susut 13.7 peratus kepada RM62.18 bilion, kerana krisis zon Euro terus menjejaskan perdagangan luar.

Sumbangan terbesar eksport Malaysia ke AS adalah produk elektrik dan elektronik yang menyumbang 54.1 peratus daripada jumlah eksport ke AS.

"Peningkatan eksport pada 2012 mengambil kira kenaikan eksport produk elektronik dan elektrik yang berkembang sebanyak 7.9 peratus atau RM2.41 bilion kepada RM32.89 bilion, disumbangkan terutamanya oleh peranti 'semikonduktor foto sensitif'.

"Produk lain yang mencatatkan pertumbuhan eksport adalah peralatan optik dan saintifik, terutamanya alat ganti dan aksesori untuk osiloskop dan penganalisis spektrum (31.8 peratus), produk getah terutamanya sarung tangan getah (19 peratus), kelengkapan pengangkutan (30.4 peratus), produk petroleum bertapis (161.9 peratus), serta produk kayu, terutamanya perabot (10.8 peratus).

"Import utama Malaysia dari Amerika Syarikat adalah produk E & E, jentera, perkakasan dan peralatan serta kimia dan produk kimia," katanya.

Sementara itu, Malaysia juga mengintai pasaran bagi produk makanan diproses yang berkembang, kerana pengguna semakin gemar kepada makanan Asia.

Data Matrade menyatakan bahawa nilai eksport makanan berproses ke AS adalah sebanyak RM662.76 juta pada 2012, mewakili 1.1 peratus daripada jumlah eksport Malaysia ke AS.

Shahrulmiza berkata jenama Carefood dari Malaysia amat popular di kalangan pengguna di AS.

"Rakyat Malaysia yang tinggal di Amerika Syarikat juga berminat untuk membeli produk makanan Malaysia.

"Pada tahun 2010 Matrade melancarkan Program Dapur Malaysia dan semenjak itu kami melihat minat yang semakin meningkat dari pengedar dan pengguna untuk produk Malaysia," kata Shahrulmiza.

Pasar Musim Sejuk Malaysia pada 20 hingga 21 Februari ini, di Bryant Park, New York turut memberi peluang unik untuk mempamerkan produk makanan Malaysia.

Katanya, Matrade menganjurkan pameran ini dengan kerjasama restoran-restoran di New York, New Jersey dan Connecticut. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment