My Add

Thursday 14 February 2013

Fahami tugas, undang-undang melindungi petugas pilihan raya: Pengerusi SPR

SHAH ALAM, KHAMI, 14 Februari, 2013: Petugas pilihan raya terutama di barisan depan perlu memahami tugas dan tanggungjawab masing-masing serta undang-undang yang melindungi mereka, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Beliau berkata, pegawai pengurus, penolong pegawai pengurus dan ketua pasukan kempen pilihan raya yang merupakan barisan depan SPR perlu berdepan pengundi dan masalah di peringkat bawah sekiranya terdapat gangguan daripada pihak tertentu pada pilihan raya umum ke-13 nanti

"Jangan takut dan gentar dalam melaksanakan tugas ini walaupun (pilihan raya) mungkin panas, getir dan sangat mencabar," katanya sambil memberitahu bahawa beliau difahamkan terdapat petugas yang menarik diri daripada bertugas pada pilihan raya umum ke-13 antaranya kerana bimbangkan keselamatan mereka.

"Petugas barisan depan juga mesti berkecuali dan SPR akan menamatkan tugas mereka jika didapati mempunyai kecenderungan pada mana-mana parti politik," katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis taklimat kepada 300 pegawai pengurus, penolong pegawai pengurus dan ketua pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya Selangor di sini, hari ini.

Abdul Aziz berkata, dengan 18 pembaharuan yang dilakukan untuk pilihan raya umum ke-13 hasil cadangan daripada semua pihak, dakwaan bahawa pilihan raya umum kali ini adalah 'paling kotor' seharusnya tidak timbul.

"Saya nak katakan dalam daftar pemilih SPR tiada phantom voters (pengundi hantu), semua pemilih adalah yang sah yang telah melalui proses pendaftaran," katanya.

Beliau berkata, aduan boleh dibuat mengikut saluran yang betul dan peruntukan undang-undang jika diperhatikan terdapat perkara tidak betul pada pilihan raya umum itu. 

Terdahulu, dalam ucapannya, Abdul Aziz berkata, SPR sedang mengkaji dengan teliti dari aspek perundangan supaya pelantikan pegawai pengurus, penolong pegawai pengurus dan ketua pasukan penguatkuasa pilihan raya dimulakan lebih awal iaitu sebelum tarikh pembubaran Parlimen.

Ia, katanya, bagi membolehkan mereka melaksanakan tugas dengan lebih awal dan mengelak timbul masalah terutama berkenaan kelulusan dan keputusan mengenai pengundian pos.

"Sebelum ini, pelantikan dimulakan selepas dewan dibubar dan selepas mesyuarat SPR. Ia menyebabkan masa begitu pendek untuk melaksanakan tugas khasnya untuk buat kelulusan dan keputusan mengenai undi pos," katanya.

Abdul Aziz juga menafikan tohmahan bahawa SPR menjadi 'kuda tunggangan' pihak tententu serta menegaskan ia adalah sebuah badan yang berkecuali.

"Sesiapa pun tidak boleh mengarah SPR untuk lakukan itu dan ini...tidak sama sekali walaupun perdana menteri dan timbalan perdana menteri. SPR tiada agenda rahsia untuk menangkan pihak tertentu (dalam pilihan raya umum)," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment