My Add

Monday 18 February 2013

Gabem jalin kerjasama dengan agensi, GLC


*Rahim Tamby Chik (kiri) menerima cenderamata sambil diperhati oleh Razali Ibrahim sempena Program Memperkasa Transformasi Ekonomi Bumiputera dan Patriotisme Bangsa di Muar, Johor, semalam.

MUAR, AHAD, 17 Februari, 2013: Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan pelbagai agensi serta syarikat milik kerajaan (GLC) bagi meningkatkan ekonomi golongan bumiputera.

Pengerusinya, Tan Sri Dr. Rahim Tamby Chik berkata, menerusi MoU yang akan ditandatangani dalam masa terdekat itu, pihaknya boleh memantau, berbincang serta mengambil tahu segala program dilaksanakan dengan lebih teliti.

"Ini seterusnya akan dapat memastikan peningkatan kadar kejayaan yang boleh diperolehi usahawan Melayu atau bumiputera menerusi program yang dijalankan secara kerjasama dengan kedua-dua pihak terbabit.

"Kita sedang draf MoU kerjasama Gabem dengan agensi dan GLC ini. Kita melihat permuafakatan ini adalah komponen perjuangan ekonomi penting buat bumiputera," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama pada Program Memperkasa Transformasi Ekonomi Bumiputera dan Patriotisme Bangsa, di sini hari ini.

Program itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Muar.

Yang turut hadir Pengurus Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional Johor, Zuraidi Khalid dan Pengurus Besar Jabatan Majlis Gabem negeri, Mohd. Saleh Mat.

Rahim berkata, pihaknya akan membuat laporan mengenai kejayaan program berkenaan kepada Majlis Agenda Bumiputera yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Buat masa ini, kata beliau, MoU itu akan ditandatangani bersama lima agensi dan GLC terlebih dulu sebelum langkah sama dilaksanakan dengan lebih banyak pihak.

Agensi terbabit kata beliau ialah SME Corporation Malaysia (SME Corp), SME Bank, TEKUN Nasional, Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC).

"Kita akan bekerjasama dalam satu pasukan untuk menjayakan usaha ini dan selepas pilihan raya umum nanti, kita mahu menggalakkan lagi usahasama ini dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu yang berkaitan ekonomi.

"Walaupun sukar untuk menyatukan mereka, namun demi melihat kejayaan ekonomi bumiputera, kami mahu lihat ia direalisasikan," katanya.

Beliau berharap semua perjuangan serta perancangan berkenaan akan mendapat maklum balas kerajaan supaya segala keperluan menaikkan sektor ekonomi mikro Melayu dapat dilaksanakan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment