My Add

Tuesday 12 February 2013

Gesaan Guan Eng gagal

Oleh ZABRY MOHAMAD, AZELI ALI, MOHD. FIRDAUS ISMAIL dan MALINDA ABDUL MALIK

  *RIBUAN pengunjung membanjiri pekarangan Kolej Han Chiang, Jalan Air Itam sempena Majlis Rumah Terbuka 1Malaysia Tahun Baharu Cina anjuran Barisan Nasional negeri di Pulau Pinang, semalam. - BERNAMA

PULAU PINANG, ISNIN, 11 Februari, 2013: Gesaan Ketua Menteri, Lim Guan Eng supaya pengunjung ke Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 1Malaysia anjuran Barisan Nasional (BN) negeri hari ini beramai-ramai memakai baju merah, kuning dan hijau propembangkang ternyata tidak mendapat sambutan.

Gesaan tersebut ternyata tidak diendahkan dan pengunjung pelbagai kaum kelihatan cukup gembira menyambut perayaan tersebut di padang Kolej Han Chiang di sini.

Seorang pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Sherlyn, 33, berkata, dia bersama enam ahli keluarganya sanggup menempuh kesesakan lalu lintas semata-mata mahu meraikan Tahun Baharu Cina bersama pemimpin nombor satu negara.

Menurutnya, tahun ular pada kali ini lebih bermakna kerana dapat meraikannya bersama Perdana Menteri.

"Kami sekeluarga berada di sini sejak pukul 9.30 pagi bagi mendapat tempat di bahagian paling hadapan walaupun Perdana Menteri dijadualkan tiba pukul 11 pagi," katanya kepada Utusan Malaysia.

Seorang remaja, Goh Tian Yong, 16, memberitahu, dia bersama keluarganya sanggup berjalan kaki sejauh kira-kira 10 kilometer dari rumah mereka untuk ke situ.

"Sebagai seorang warganegara, saya begitu teruja untuk menyambut Tahun Baharu Cina bersama kaum lain," ujarnya.

Adiknya, Goh Sin Ni, 13, pula menjelaskan, dia tidak menyangka dapat melihat Perdana Menteri secara dekat.

Apatah lagi tambah beliau, Najib merupakan idola dalam hidupnya.

"Saya kagum dengan Najib kerana beliau merupakan pemimpin yang tidak meminggirkan mana-mana kaum berdasarkan konsep 1Malaysia yang diperkenalkan," ujarnya.

Kira-kira 80,000 orang menghadiri rumah terbuka Tahun Baharu Cina 1Malaysia anjuran Barisan Nasional negeri itu.

Majlis diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang tiba pada kira-kira pukul 10.45 pagi.

Yang hadir sama bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi; dua Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Pengerusi BN negeri, Teng Chang Yeow; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman; Pengerusi MCA negeri, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen serta pemimpin-pemimpin komponen BN lain.

Para pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan penyanyi popular Korea Selatan, Park Jae-sang atau Psy yang popular dengan lagu Oppa Gangnam Style dan penyanyi tempatan Shila Amzah.

Guan Eng sebelum ini menyeru orang ramai yang mahu hadir ke majlis berkenaan memakai baju kuning sebagai tanda sokongan kepada himpunan Bersih anjuran pembangkang, hijau untuk alam sekitar dan merah bagi Pulau Pinang. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment