My Add

Wednesday 13 February 2013

Hubungan Malaysia-Indonesia tugas semua

Daripada SAHARUDIN MUSTHAFA

*MUHYIDDIN berucap pada Forum Meja Bulat Gerakan Kesederhanaan Global di Jakarta, semalam. - BERNAMA

JAKARTA, SELASA, 12 Februari, 2013: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, usaha mengekalkan keamanan, kestabilan dan kerukunan hubungan Malaysia dan Indonesia bukan hanya terbatas kepada kerajaan sahaja.

Sebaliknya, menurut Timbalan Perdana Menteri, tanggungjawab itu juga wajar digalas oleh individu dan masyarakat sivil menerusi pertemuan dan perbincangan antara tokoh intelektual, politik, pegawai kanan kerajaan dan pemimpin pertubuhan Islam di Malaysia dan Indonesia.

Pertemuan dan perbincangan antara golongan berkenaan, jelasnya, boleh menjadi platform paling ideal meletakkan kesederhanaan sebagai prinsip penting dalam hubungan antara Malaysia dan Indonesia.

"Dengan wujudnya persefahaman dan kerjasama di peringkat ini, saya percaya usaha kerajaan kedua-dua buah negara untuk terus mengekalkan hubungan yang harmonis dan mesra akan dapat dicapai," katanya semasa berucap dalam Forum Meja Bulat Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) di sini hari ini.

Forum anjuran Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF) itu disertai ahli akademik, tokoh politik, pegawai kanan kerajaan dan pertubuhan Islam dari Malaysia dan Indonesia termasuk daripada dua pertubuhan Islam terbesar Indonesia, Muhammadiyah dan Nahdatul Ulama (NU).

Antara tokoh yang mewakili Malaysia dalam forum berkenaan ialah Speaker Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang; Ahli Parlimen Bachok, Nasharudin Mat Isa; Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya dan Ahli Dewan Negara, Senator Mohamad Ezam Mohd. Noor.

Dalam forum itu, Muhyiddin turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM5 juta untuk menggerakkan program peringkat golongan muda Malaysia-Indonesia.

Menurut beliau, gerakan kesederhanaan yang melangkaui batas agama dan negara itu adalah pendekatan paling tepat mengekang ancaman ekstremisme di peringkat antarabangsa dan seterusnya mengekalkan keamanan dunia.

Sementara itu, dalam sesi soal jawab bersama ahli panel forum meja bulat tersebut, beliau berharap GMMF dan Muhammadiyah dapat meneruskan dialog mengenai kesederhanaan secara berterusan.

Katanya, antara usaha yang boleh digerakkan antara kedua-dua pihak ialah menjalin kerjasama untuk terus memperkukuhkan hubungan antara Malaysia dan Indonesia. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment