My Add

Saturday 16 February 2013

Islam: Dunia luariktiraf Malaysia

Oleh NAZMIL NASIRUDDIN

PUTRAJAYA, JUMAAT, 15 Februari, 2013: Dunia luar kini memberi pengiktirafan kepada Malaysia berhubung kecemerlangan agensi pengurusan hal ehwal Islam tempatan dalam menguruskan haji, perbankan Islam dan hab halal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, secara sedar atau tidak Malaysia dijadikan penanda aras oleh pihak luar dalam bidang berkenaan.

Katanya, kakitangan agensi berkaitan perlu mengukuhkan semangat dan keazaman untuk mempertingkatkan kecemerlangan sedia ada kepada satu tahap yang dibanggakan.

"Contohnya semalam saya bertemu Duta Australia, mereka ingin melihat dan belajar mengenai pentadbiran agama dalam konteks negara ini.

"Mereka telah memberi akujanji untuk menghantar belia dari sana untuk belajar dan melihat sistem pentadbiran negara yang mempunyai kepelbagaian bangsa, agama, budaya serta bahasa yang bersatu dalam memajukan negara," katanya

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Agensi-agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri 2013, di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha.

Jamil Khir berkata, beliau berpuas hati dengan pencapaian agensi pengurusan hal ehwal Islam yang komited menjayakan pelbagai program dan aktiviti sepanjang tahun lepas.

Katanya, antara pencapaian tersebut adalah pelancaran Sistem Persijilan Halal Malaysia Produk Farmaseutikal, meminimumkan tempoh masa penyelesaian kes penceraian tidak melebihi setahun dan membangunkan Sistem E-Pusara.

"Selain itu, kita berjaya menubuhkan Pusat Bersalin Berisiko Rendah 1Malaysia Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP)-Hospital Putrajaya dan Program Mikro Kredit Ar Rahnu Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim)," katanya.

Pada masa sama, beliau berharap, kesemua 13 agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri dan 14 majlis agama Islam negeri (MAIN) dapat bekerjasama dalam memperkemaskan urusan hal ehwal Islam negara.

"Walaupun kuasa bidang agama Islam negeri terletak di bawah MAIN dan sultan masing masing, tetapi di atas sifat kebersamaan hala tuju kita boleh berkongsi maklumat untuk transformasi," katanya.

Melalui kerjasama tersebut juga, katanya, hal ehwal Islam seperti berkaitan mahkamah syariah, kutipan dan agihan zakat, serta pengurusan sekolah agama dapat diperkemaskan.

"Sehingga kini, terdapat lebih 3,000 sekolah rendah agama dan menengah agama sama ada milik kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan, dan persendirian di seluruh negara," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment