My Add

Thursday 14 February 2013

Jaminan Najib kepada kaum Cina

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA

KUALA LUMPUR, RABU, 13 Februari, 2013; Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan kepada masyarakat Cina di negara ini bahawa Barisan Nasional (BN) akan berusaha gigih menggerakkan transformasi ekonomi dan politik dengan sebaik mungkin.

Perdana Menteri berkata, BN di bawah kepemimpinannya sentiasa komited untuk membawa kemakmuran serta kesejahteraan kepada rakyat dan iltizam itu bersesuaian dengan harapan sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Menerusi perutusan Tahun Baharu Cina kepada pengundi Cina di Selangor yang dihantar dalam bentuk surat kepada mereka baru-baru ini, beliau berkata, sebenarnya rakyat Malaysia khususnya masyarakat Tionghua meletakkan harapan tinggi terhadap BN.

Menurut Najib, dalam melaksanakan transformasi, beliau mengambil contoh keterbukaan Deng Xiaoping kerana perubahan memerlukan pelan jangka masa panjang dan ia harus dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.

"Saya gembira apabila usaha kerajaan memberi kesan kepada rakyat. Saya memahami rakyat terutamanya kaum Cina meletak harapan tinggi kepada BN. Harapan ini membuatkan saya dan rakan-rakan berusaha lebih gigih.

"Saya juga menyedari perubahan yang dilakukan tidak cukup pantas, namun rakan-rakan kaum Cina mengingatkan sikap tergesa-gesa akan menghasilkan kerja yang sia-sia," katanya seperti dipetik daripada The Malaysian Times hari ini.

Bagaimanapun Najib menambah, beliau sedar masih banyak pihak tertentu meragui transformasi BN dan ia merupakan satu cabaran kepada kerajaan untuk menterjemahkan perkara tersebut dalam bentuk hasil.

Katanya, keraguan tersebut merupakan satu peringatan penting buat kerajaan agar tidak melakukan sebarang transformasi dalam keadaan tergesa-gesa sebaliknya perlu dilakukan secara terurus dan sistematik. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment