My Add

Thursday 14 February 2013

Karpal perlu tarik balik kenyataan di Parlimen

KUALA LUMPUR, RABU, 13 Februari, 2013: Pengerusi DAP, Karpal Singh didesak menarik balik kenyataan yang pernah direkodkan dalam hansard di Parlimen pada Oktober 1997 jika mahu orang Melayu dan Islam menyokong Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.

Ahli Dewan Negara, Senator Mohamad Ezam Mohd. Nor berkata, desakan itu berikutan pengakuan Karpal beliau mempunyai bukti yang kukuh bahawa Ketua Pembangkang itu pernah terlibat dalam kegiatan seks songsang.

"Karpal sudah tentu tahu orang Melayu dan Islam tidak boleh sesekali menerima seseorang seperti ini untuk menjadi Perdana Menteri.

"Dengan ini, Karpal harus segera menarik balik kenyataan beliau dan minta maaf kepada semua orang Melayu dan Islam," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Karpal semalam yang berkeyakinan Pas tetap menyokong keputusan pakatan pembangkang memilih Anwar sebagai Perdana Menteri jika menang pilihan raya kelak.

Tambah Karpal, DAP memilih Anwar untuk memegang jawatan berkenaan kerana beliau merupakan calon paling layak memimpin negara.

Mengulas lanjut, Mohamad Ezam turut menyeru Karpal supaya tidak hipokrit kerana sikap tersebut menyebabkan rakyat hidup dalam kekeliruan.

"Saya hendak tanya anaknya, Gobind Singh Deo adakah bapanya seorang lelaki berprinsip dan bermoral kerana sering memutarbelitkan fakta mengikut ketetapan sendiri. Bukankah perbuatan ini mengaibkan keluarga juga?

"Jika saya adalah keluarganya, saya akan berasa amat malu disebabkan mempunyai seorang bapa yang hipokrit, tiada prinsip dalam hidup dan tahap maruah yang amat rendah apabila mengambil sikap tersebut terhadap Anwar," ujarnya.

Mohamad Ezam turut menyoal apakah sebenarnya agenda Karpal dan DAP yang bermati-matian mahu Anwar menjadi Perdana Menteri walaupun rakan sekutunya sering meragui kredibiliti Ketua Pembangkang itu.

"Apakah agenda sebenar DAP? Sebelum ini mendakwa Anwar terlibat dengan kegiatan liwat, sekarang kata dia paling layak memimpin negara? Betul-betul hipokrit dan memalukan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment