My Add

Monday 11 February 2013

Kaum India akan beri 'pukulan maut' kepada DAP - Ramanan

Oleh ZULKIFLI JALIL

KUALA LUMPUR, AHAD, 10 Februari, 2013: Masyarakat India di negara ini dipercayai akan menggunakan kuasa mereka di kertas undi untuk memberi 'pukulan maut' kepada DAP dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) tidak lama lagi.

Naib Pengerusi Strategik MIC, Datuk R. Ramanan berkata, berdasarkan tinjauan dan maklum balas yang diperoleh pihaknya daripada akar umbi kaum India, kesedaran mereka kian menebal tentang 'siapa DAP' dan tindak tanduk 'mencurigakan' parti itu terhadap masyarakat tersebut .

"Kalau kita ambil penanda aras Pulau Pinang, ramai orang India tinggal di negeri itu, tetapi sampai ke hari ini kita nak bertanya kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng berapa kuil dan sekolah untuk kaum India sudah dibina sepanjang lima tahun pentadbirannya.

"Jangan cakaplah kerana kerajaan (Pusat) bukan di tangan dia (sekarang) dan hanya bila kerajaan (Pusat) itu 'datang' (diambil alihnya), baru dia nak buat.

"Dalam hal ini, saya tak salahkan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr. P. Ramasamy. Beliau pun ada juga mencuba bawa masalah kaum India kepada pihak atasannya (DAP), tapi tak dipedulikan. Ini memang cara kepimpinan DAP. Hanya MIC yang diterajui Presidennya, Datuk G. Palanivel 'bergaduh' untuk perjuangkan hak-hak kaum India," kata beliau kepadaMingguan Malaysia hari ini.

Ramanan menarik perhatian bagaimana kepemimpinan DAP ketika ini cuba menonjolkan diri seolah-olah 'mereka tahu segalanya' apabila berbicara soal-soal kepentingan dan keperluan rakyat.

"Sedangkan kita semua tahu dan maklum DAP hanya bergerak di Pulau Pinang sahaja, tapi Malaysia? Kita tak mahu 'dikelirukan' bahawa parti ini kononnya boleh buat segalanya untuk negara ini.

"Kita, Barisan Nasional (BN) pun bukannya kalah semua kerusi di Pulau Pinang tapi DAP ini cuba menggunakan satu tempat ini (Pulau Pinang) untuk menonjolkan satu ilusi bahawa 'khidmat' parti itu sudah merangkumi Malaysia keseluruhannya," katanya.

Kalau begitu analoginya, kata Ramanan, adalah lebih elok nama DAP itu ditukar kepada Democratic Action Party Penang atau DAPP.

Dalam isu ini, beliau turut mencabar Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang juga bapa Guan Eng supaya membawa agenda parti itu keluar dari Pulau Pinang untuk dilaksanakan di negeri-negeri seperti Pahang, Perak dan beberapa lagi.

"Cuba buktikan kepada semua, apa yang telah dibuat oleh DAP di luar Pulau Pinang untuk rakyat. Tidak ada...tidak ada. Parti itu bukan macam BN yang menerusi Perdana Menteri menggerakkan gagasan 1Malaysia untuk manfaat semua negeri.

"Sebab itu saya meminta kaum India 'buka mata' kita semua supaya tidak terjerumus dalam 'jerangkap samar' DAP.

"Ini khususnya dengan membuat penilaian sedalam-dalamnya pada PRU-13 siapa kerajaan yang berwibawa dan perlu diundi," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment