My Add

Friday 15 February 2013

Kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand dipertingkat

KOTA BAHARU, KHAMIS, 14 Februari, 2013: Kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand dipertingkatkan bagi mengelakkan militan Barisan Revolusi Nasional (BRN) yang berpangkalan di selatan Thailand, bolos ke negara ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata bagi tujuan itu, pihaknya bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di bawah "Ops Wawasan" yang dikelolakan ATM.

"Kita akan bekerjasama dengan pihak keselamatan Thailand bagi mengesan militan yang cuba melarikan diri ke negara ini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan 17 pemberontak maut dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan Thailand, apabila mereka masuk ke dalam perangkap tentera semasa melancarkan serangan hendap ke atas sebuah kem tentera laut di Narathiwat, selatan Thailand semalam.

Komander Tentera Laut Narathiwat, Kol Somkiat Ponprayoon dipetik berkata, kira-kira 50 pemberontak lengkap bersenjata dan berpakaian seragam tentera serta jaket kalis peluru daripada kumpulan BRN menyerbu kem kecil tentera yang mempunyai 50 pegawai dan anggota pada pukul 1 pagi.

Jalaluddin meminta penduduk di kawasan sempadan supaya menyalurkan maklumat kepada pihak keselamatan jika ada militan yang cuba memboloskan diri agar tindakan segera dapat dilakukan.

Beliau menasihati rakyat Malaysia, terutama yang berada di negeri ini agar tidak ke negara jiran jika tidak mempunyai perkara mustahak. 

Dalam kes lain, Jalaluddin berkata dua suspek berusia 30-an yang ditahan Rabu lalu berikutan penemuan senjata api jenis M16 di tempat menyimpan barang sebuah bas ketika sekatan jalan raya di Simpang Empat Salam, Rantau Panjang, disyaki menyeludup senjata api ke negara ini untuk pasaran di Kuala Lumpur.

Beliau berkata kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau.

Enam lagi suspek yang ditahan dalam sekatan jalan raya tersebut telah dibebaskan, katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment