My Add

Thursday 14 February 2013

Kemuncak Cyberjaya 2020

Oleh FAIRUS KASSIM

 *MUSTAPHA Kamal Abu Bakar yang menerajui Setia Haruman Sdn. Bhd. mengambil inisiatif menstruktur semula Cyberjaya agar lebih kompetitif. - utusan/ABDUL NAZIR MOHAMED

KUALA LUMPUR, RABU, 13 Februari, 2013: Bandar pertama di Malaysia berstatus Multimedia Super Koridor (MSC), Cyberjaya bakal mencapai kemuncak menjelang 2020, sekali gus menjadi pemangkin ke arah negara berpendapatan tinggi.

Pembangunan Cyberjaya yang diilhamkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad pada 1997 ketika ini telah melalui fasa ketiga pembangunannya menerusi pelaburan daripada 16 pemaju terkemuka di Malaysia, termasuk Kumpulan Emkay.

Nilai pembangunan kasar (GDV) di Cyberjaya adalah RM32.6 bilion dan dijangka kebanyakan pembangunan selesai menjelang 2016.

Pengerusi Setia Haruman Sdn. Bhd. (SHSB), Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar berkata, pada 2016, Cyberjaya akan menjadi sebuah bandar serba lengkap dengan memiliki infrastruktur moden dan mampu menampung penduduk tetap melebihi 100,000 orang.

Katanya selepas 2016, Setia Haruman masih lagi memiliki 1,000 ekar tanah untuk fasa empat khususnya bagi menampung keperluan membangunkan infrastruktur moden untuk sektor Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) bagi menarik syarikat berimpak tinggi terutamanya syarikat multinasional (MNC).

"SHSB telah melakukan kajian pada awal tahun 2004 di Dubai dan Bangalore, India iaitu pembangunan hampir sama dengan Cyberjaya dan dua maklumat penting yang diperolehi adalah pembangunan berkonsep kampus (India) dan menekap aspek menyediakan pekerja-pekerja berkemahiran tinggi.

"Selepas itu, SHSB telah mengambil inisiatif menstrukturkan semula Cyberjaya agar kompetitif dan kami telah lancarkan pembangunan fasa kedua bagi membentuk imej (2005-2011) seterusnya fasa ketiga iaitu fasa pengisian ekonomi dengan mewujudkan bandar serba lengkap.

"Menjelang fasa empat pula (2017-2020), Cyberjaya dijangka menerima kehadiran pelbagai MNC kerana telah berjaya menyediakan infrastruktur dan kos perniagaan yang kompetitif yang memenuhi kriteria mereka," katanya kepada Utusan Malaysia.

Antara MNC yang sudah beroperasi di Cyberjaya adalah Hewlett-Packard, Shell, HSBC, T-Systems, DHL, IBM, RBC Dexia, Ericsson, AIA, Dell dan AMD.

Mustapha berkata, secara purata dan berdasarkan dari pengalaman berurusan dengan MNC sedia ada di Cyberjaya, melalui konsep kampus, MNC hanya memerlukan 10 ekar tanah yang dapat menampung 5,000 pekerja berkemahiran tinggi.

Oleh kerana Setia Haruman masih memiliki 1,000 ekar, maka secara kasar paling konservatif, mampu menyediakan sekurang-kurangnya 67,000 peluang pekerjaan baharu yang memerlukan kemahiran tertentu pada 2020.

"Oleh itu, fasa keempat ini sebenarnya merupakan fasa kritikal iaitu misi mencapai matlamat penubuhan Cyberjaya. Harapan kami adalah mahu memastikan sebahagian besar pekerjaan baharu berkenaan dipenuhi oleh anak tempatan yang memiliki akhlak yang mulia, ilmu pengetahuan, kelulusan, pengalaman dan kemahiran yang diperlukan industri.

"Ketika ini sebahagian besar daripada 30,000 pekerja berkemahiran tinggi di Cyberjaya adalah warga asing. Oleh itu, perlulah dirancang daripada sekarang supaya dapat anak bangsa kita akan terlibat kelak.

"Bagi mencapai hasrat ini, SHSB memerlukan sokongan penuh daripada kerajaan, institusi pengajian tinggi dan juga syarikat-syarikat tempatan dalam usaha melahirkan pekerja mahir (mengikut spesifikasi MNC) bermula dari sekarang," jelasnya.

Beliau berpendapat, perancangan ini adalah tidak mustahil untuk dilaksanakan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment