My Add

Friday 15 February 2013

Kerajaan timbang SVTB1M kepada balu veteran tak berpencen

MUAR, KHAMIS, 14 Februari, 2013: Kerajaan akan mempertimbangkan untuk memperluaskan pemberian Sumbangan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Tidak Berpencen 1Malaysia (SVTB1M) kepada balu tentera sebagai menghargai dan mengenang jasa suami mereka, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, secara peribadinya beliau bersetuju dengan perluasan sumbangan wang tunai RM1,000 itu dan perkara berkenaan akan diusulkan pada mesyuarat Kabinet bagi kelulusan.

"Saya sokong 100 peratus tetapi kuasa "besar" terletak pada Perdana Menteri.

Saya akan sebut dalam mesyuarat Kabinet nanti," katanya berucap pada majlis penyampaian SVTB1M peringkat negeri Johor di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S.Subramaniam; Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Latiff Ahmad; serta Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia, Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata, secara dasarnya peruntukan untuk pemberian sumbangan itu sudah ada dan ini sekali gus dilihat sebagai membela nasib balu dan anak-anak tentera.

Beliau menegaskan, kerajaan Barisan Nasional (BN) begitu mengambil berat segala sumbangan yang dicurahkan veteran tentera dan tidak pernah sesekali meminggirkan mereka.

"Ini (SVTB1M) sumbangan kecil dalam hendak menilai pengorbanan besar dan jiwa raga veteran tentera. Kalau tiada perjuangan saudara-saudara (veteran), negara kita tidak aman dan kalau tidak aman maka rakyat tidak sempurna dan kerajaan juga tidak dapat memajukan negara," katanya.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan, veteran tentera merupakan pendukung kekuatan BN dan bantuan SVTB1M juga merupakan pengiktirafan kerajaan sebagai memastikan kehidupan selesa kepada mereka.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyampaikan baucar replika SVTB1M kepada 25 wakil parlimen negeri Johor sebagai simbolik kepada penyerahan wang RM1,000 kepada 6,184 veteran tentera tidak berpencen di seluruh negeri ini.

Terdahulu, beliau meminta veteran dan tetamu yang hadir untuk bersama-sama menghadiahkan al-Fatihah kepada Allahyarham Lt Adnan Saidi yang terkorban dalam peristiwa berdarah pertempuran Bukit Candu, Singapura, 71 tahun lepas.
- BERNAMA

No comments:

Post a Comment