My Add

Friday 8 February 2013

Ketepi perbalahan untuk jamin kemenangan BN

 *RAJA Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama Muhyiddin Yassin dan Md. Isa Sabu (tiga dari kanan) pada majlis menerima mengadap di Istana Arau, semalam.

PADANG BESAR, KHAMIS, 07 Februari, 2013: Setiap pemimpin dalam Barisan Nasional (BN) terutama UMNO semakin memahami situasi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang memerlukan mereka mengetepikan setiap sentimen atau perbalahan untuk memastikan parti meraih kemenangan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perubahan itu berdasarkan kesedaran tentang kesan besar yang bakal dihadapi parti sekiranya para pemimpin terlibat masih mencetuskan masalah sesama sendiri.

"Biasalah dalam mana-mana parti ada masalah tetapi saya percaya UMNO faham bahawa kalau mereka nak cetus masalah sesama sendiri, ia boleh membawa kesan besar dalam PRU-13," kata beliau dalam sidang akhbar selepas menghadiri Jamuan Rakyat 1Malaysia di Dewan Sri Melati, Beseri di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Koperasi negeri, Sabry Ahmad; Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Ketua UMNO Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Terdahulu, beliau mengadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau sebelum mendengar taklimat pilihan raya negeri Perlis di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kangar.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berharap isu perbalahan sesama sendiri dalam parti dapat diselesaikan dengan segera bagi memastikan BN mencatat kemenangan lebih mudah.

Mengenai Perlis yang dianggap kubu kuat BN, Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, beliau yakin parti berkenaan akan terus diberi mandat untuk memerintah negeri ini.

"Hasil tinjauan dan maklumat diperoleh, UMNO yakin dapat memenangi kesemua tiga kerusi Parlimen dan 15 Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk merampas kembali dua kerusi daripada Pas di DUN Sanglang dan Simpang Empat.

"Berdasarkan persiapan menghadapi pilihan raya, ada ruang yang perlu diberikan fokus kerana Perlis bukannya besar, bermakna kita (UMNO) boleh dapat sebahagian besar undi jika berusaha lebih keras," kata beliau.

Terdahulu, ditanya tentang harapan rakyat terhadap BN, Muhyiddin berkata, hasil tinjauan di seluruh negara menyaksikan rakyat mempunyai satu perasaan lebih yakin dan mempercayai kerajaan pimpinan BN dengan agak nyata.

Katanya, dalam tempoh dua tahun lepas, kerajaan telah mengambil kira apa yang disuarakan oleh rakyat dan memahami aspirasi mereka.

"Kita telah dapat isyarat pada pilihan raya lalu bahawa kita perlu buat sesuatu lebih besar, lebih berkesan untuk menangani beberapa perkara pokok yang menjadi perhatian rakyat.

"Sebab itu kita memperkenalkan program transformasi, transformasi ekonomi dan kerajaan. Bajet yang kita buat menjurus untuk membantu setiap kelompok masyarakat," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment