My Add

Friday 8 February 2013

Ketua Menteri paling bongkak

Oleh KASTHURI JEEVENDRAN

*POSTER sempena sambutan Maulidur Rasul yang memaparkan gambar Lim Guan Eng yang lebih dominan berbanding Exco beragama Islam di Pulau Pinang, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 07 Februari, 2013: "Belum pernah terjadi di negara ini, kita ada seorang Ketua Menteri yang sungguh bongkak dan cuba membuktikan dirinya 'tokong' yang tidak boleh diusik langsung."

Itu luahan bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang merujuk gelagat Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng apabila mengarahkan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) menurunkan kain rentang ucapan Tahun Baharu Cina Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di negeri itu.

Menurutnya, tindakan Setiausaha Agung DAP itu dilihat sebagai satu cubaan untuk menunjukkan beliau seolah-olah 'lebih besar dan lebih kuat' daripada orang lain malah Perdana Menteri sendiri.

"Saya tak sangka Guan Eng sanggup buat kerja-kerja bodoh macam ini. Semasa sambutan Maulidur Rasul sebelum ini, poster Guan Eng yang dipasang di Pulau Pinang lebih besar daripada ahli-ahli Exco beragama Islam.

"Insiden yang sama juga disaksikan semasa sambutan Thaipusam baru-baru ini apabila poster dirinya jauh lebih dominan daripada pemimpin India di negeri itu.

"Sehubungan itu kita tak hairan Guan Eng boleh turunkan gambar Perdana Menteri pada bila-bila masa yang dia suka dengan alasan yang tidak logik," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan melampau Kerajaan DAP Pulau Pinang menurunkan kain rentang di negeri itu yang mempunyai gambar Perdana Menteri dengan alasan tidak mendapat kelulusan daripada MPPP.

Tunku Aziz mendakwa, tindakan Kerajaan DAP Pulau Pinang yang diterajui Guan Eng sungguh kebudak-budakan dan tidak matang.

"Mungkin Guan Eng anggap negeri di bawah tampuk kuasanya itu adalah hak milik sendiri. Mungkin juga dia bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri. Begitulah kesimpulan yang kita boleh buat dengan tindakan luar biasa 'tokong' sepertinya.

"Setelah perbuatan itu mendapat kritikan masyarakat terutamanya di negeri itu, beliau meminta media supaya tidak memperbesarkan isu 'kecil' ini. Sungguh bongkak ketua menteri ini," ujarnya.

Sementara itu, bekas Ketua Cawangan DAP Sungai Pelek, Tan Tuan Tat menyifatkan tindakan Guan Eng sebagai biadab dan menjijikkan.

"Nama sahaja parti demokratik, tetapi DAP jugalah sebuah parti yang tidak mendukung amalan demokrasi. Perdana Menteri adalah pemimpin yang dipilih rakyat dan perbuatan itu seolah-olah tidak menghormati Perlembagaan negara," tegasnya.

Tuan Tat turut menasihati Guan Eng supaya lebih fokus pada perkara-perkara yang lebih penting dan tidak bersikap pengecut dengan mendiamkan diri berhubung penggunaan kalimah Allah dan drama salah kira undi dalam pemilihan partinya baru-baru ini.

"Tindakan menurunkan poster Perdana Menteri dan mendesak orang ramai untuk menghadiri rumah terbuka dengan warna pakaian tertentu adalah perbuatan yang tidak berfaedah, jangan salah gunakan kuasa anda.

"Tunjukkan kehebatan dan keberanian anda dengan tampil memberi penjelasan berhubung keadaan huru hara ekoran polemik kalimah Allah dalam kalangan pemimpin pembangkang, selain 'membuka mulut' menjawab persoalan-persoalan yang ditimbulkan akar umbi DAP berhubung salah kira undi," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment