My Add

Tuesday 12 February 2013

Lagi projek PR1MA di Johor

Oleh MOHAMAD FIKRI ROSLY

JOHOR BAHRU, ISNIN, 11 Februari, 2013: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengumumkan beberapa lagi projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Johor Bahru esok, sebagai susulan kepada pembangunan 201 unit kediaman Nusantara Prima di Nusajaya.

Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Mutalib Alias berkata, pengumuman besar melibatkan jumlah dan lokasi-lokasi menarik di sekitar ibu negeri itu akan dibuat oleh Najib dalam Majlis Cabutan Undi Projek Perumahan Nusantara Prima di Dewan Raya Bandar Putra, Kulaijaya.

"Saya harap pengumuman oleh Perdana Menteri esok akan memberikan peluang kepada penduduk Johor Bahru merasai manfaat PR1MA, kerana ia melibatkan fasa-fasa lain di keseluruhan Johor Bahru dan bukan sahaja Nusantara Prima.

"Dalam cabutan esok, permohonan yang telah diterima melalui laman web www.pr1ma.my akan dipilih mengikut nombor rujukan dan cabutan esok adalah termasuk 201 lagi pemohon untuk senarai simpanan selepas disahkan, dijaga dan diselia juruaudit bertauliah, KPMG Management & Risk Consulting Sdn. Bhd. (KPMG)," katanya dalam sidang akhbar dan sesi penerangan proses pengundian Nusantara Prima di sini hari ini.

Turut hadir, Naib Presiden Teknologi Maklumat dan Komunikasi PR1MA, Noorul Amilin Mohd Daud; Ketua Pegawai Eksekutif Denia Development Sdn. Bhd., Datuk Zamani Kasim dan Pengarah Eksekutif Perunding Penasihat Risiko KPMG, Mohd. Khaidzir Shahari.

Sejumlah 201 unit PR1MA ditawarkan dengan harga RM199,000 dalam projek perumahan Nusantara Prima di Nusajaya, Johor, dengan jumlah mereka yang memohon mencecah 1,315 orang atau 6.5 kali terlebih langganan dengan 1,073 daripadanya belum memiliki rumah dan 242 lagi sudah memiliki sebuah rumah.

Projek yang dijangka siap pada 2015 itu bakal dijayakan oleh Denia Development Sdn. Bhd. hasil kerjasama dengan UEM Land Bhd. sebagai pemilik tanah manakala PR1MA bertindak memberi sokongan dana pemudah cara melalui Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS).

Menurut Mutalib, Johor Bahru mencatatkan permohonan ketiga tertinggi di seluruh negara selepas Selangor dan Kuala Lumpur dengan jumlah mereka yang memohon dari ketiga-tiga lokasi ini mewakili 60 peratus daripada golongan yang belum memiliki rumah.

"Kita akan melancarkan program PR1MA di Kuala Lumpur dan Selangor pada bulan hadapan. Kita mahu pastikan semua orang mendapat peluang ini kerana ia tidak terhad kepada kaum tertentu," katanya.

Kata Mutalib lagi, pihaknya juga memberi kebenaran kepada pemohon yang berjaya untuk menyewakan rumah yang dibeli sekiranya mereka tidak lagi bekerja atau menetap di satu-satu projek PR1MA.

Namun, tambahnya, rumah terlibat juga akan ditawarkan kepada pemohon di dalam senarai simpanan sekiranya mereka yang berjaya mendapatkan kediaman PR1MA tidak mampu membayar ansuran bulanan dalam tempoh moratorium selama 10 tahun. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment