My Add

Friday 15 February 2013

Lahad Datu terkawal - PM

Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM

 *NAJIB bersama Musa Aman bersalaman dengan hadirin selepas pelancaran Program Nadi Kasih Peringkat Negeri Sabah di Padang Majlis Dearah Tuaran, Sabah, semalam. - BERNAMA

PAPAR, KHAMIS, 14 Februari, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan sedang berunding agar sekumpulan orang asing bersenjata api yang menceroboh masuk ke kawasan pesisir Pantai Tandao berdekatan Felda Sahabat 17, Lahad Datu dekat sini kelmarin, keluar dari negara ini secara aman.

Perdana Menteri menjelaskan bahawa pasukan keselamatan, Angkatan Tentera Malaysia dan polis yang kini mengepung kawasan itu mempunyai kekuatan mencukupi untuk bertempur, tetapi tidak akan memilih langkah itu sebaliknya akan melakukan rundingan secara aman.

"Kita mahu mereka balik secara baik ke selatan Filipina dan elakkan sebarang pertumpahan darah. Mereka mempunyai saudara-mara di sini dan kita tidak mahu melakukan apa-apa tindakan yang menyebabkan ada nyawa terkorban.

"Saya telah diberi taklimat mengenai situasi terkini oleh Ketua Polis Negara malam tadi dan Pesuruhjaya Polis Sabah pagi ini, bahawa keadaan di sana boleh dikatakan berada dalam keadaan terkawal," katanya kepada pemberita selepas majlis Bersama Rakyat di sini hari ini.

Yang turut hadir isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman; Timbalan-timbalannya, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Datuk Seri Yahya Hussin; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang juga Naib Presiden UMNO; menteri-menteri Kabinet dan pimpinan UMNO serta parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) negeri.

Tambah Najib, pihak berkuasa telah mengenal pasti identiti kumpulan itu yang dianggarkan antara 80 dan 100 orang, tetapi enggan mengulas lanjut dengan menyerahkan kepada polis untuk melakukan rundingan dan menyelesaikan dengan mereka.

Ditanya adakah kumpulan itu bersenjata api, Perdana Menteri berkata: "Dalam maklumat polis, harap jangan buat sebarang spekulasi, apa yang penting bukannya untuk dedahkan apa-apa maklumat dalaman tetapi biarkan polis jalankan kerja mereka.

"Kita tidak mahu polis diganggu atau ditekan oleh mana-mana pihak, yang penting ialah keberhasilannya untuk menyelesaikannya tanpa sebarang pertumpahan darah. Jumlah antara 80 dan 100 orang itu hanya anggaran, tidak pasti sama ada betul atau tidak,".

Perdana Menteri turut menafikan desas-desus mengatakan bahawa kumpulan itu mempunyai tebusan.

Sementara itu, beliau berkata, kejadian itu telah dimaklumkan kepada Kerajaan Filipina sambil menafikan insiden itu mempunyai kaitan dengan perasaan tidak puas pihak-pihak tertentu terhadap peranan Malaysia dalam rundingan damai dengan kumpulan pemberontak di selatan Filipina baru-baru ini.

"Ia hanya spekulasi," kata Najib.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut ditanya mengenai tahap keselamatan sempadan perairan negara yang mudah bocor hingga memudahkan kumpulan itu menceroboh masuk. Beliau menjawab:

"Perairan kita ini amat luas dan amat mustahil untuk kita mengawalnya setiap masa di setiap penjuru. Tetapi apa yang penting setelah mendapat maklumat kita segera bertindak mengepung menyebabkan mereka tidak mampu lari ke mana-mana lagi.

"Mana-mana negara pun sama, hatta Amerika Syarikat yang merupakan kuasa besar dunia pun sempadannya turut dibolosi hingga rakyat Mexico turut dapat menceroboh masuk," kata beliau. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment