My Add

Monday 18 February 2013

Lakar sejarah aktiviti Dong Zong

 *NAJIB (tengah) bergambar bersama tetamu kehormat pada Majlis Rumah Terbuka sambutan Tahun Baharu Cina di Pusat Pengajian Tinggi Dong Jiao Zong di Kajang, semalam. Turut hadir Dr. Koh Tsu Koon (tiga, kiri), Dr. Chua Soi Lek (empat, kiri), dan Dr. Yap Sin Tian (empat, kanan).

Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM
KUALA LUMPUR, AHAD, 17 Februari, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melakar sejarah menjadi Perdana Menteri pertama menghadiri aktiviti anjuran Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) sejak 59 tahun penubuhan persatuan itu.

Kehadiran Najib itu bersempena majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina yang diadakan di Pusat Pengajian Tinggi Dong Jiao Zong di sini hari ini.

Beliau yang tiba pada pukul 9.45 pagi itu disambut Pengerusi Dong Zong, Dr. Yap Sin Tian.

Pada majlis yang dihadiri kira-kira 5,000 tetamu itu, Perdana Menteri menyertai upacara menggaul Yee Sang dan menulis kaligrafi Cina yang bermaksud 'menyambut tahun baharu bersama-sama'.

Acara menulis kaligrafi itu turut disertai Pengerusi Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong), Sin Tian; Pengerusi Merdeka Universiti Berhad, Foo Wan Thot dan Timbalan Pengerusi Dong Zong, Chow Siew Hon.

Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong.

Najib yang meluangkan masa kira-kira setengah jam telah dihiburkan dengan persembahan tarian singa serta muzik dan nyanyian tradisional Tionghua sambil menikmati hidangan bersama tetamu yang lain.

Sementara itu, mengulas lawatan Najib, Siew Hon menyifatkannya sebagai satu permulaan yang baik kepada penambahbaikan pendidikan aliran sekolah Cina.

''Kami gembira dengan lawatan Perdana Menteri dan nampak keikhlasan beliau hadir dalam majlis hari ini,'' katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis tersebut," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment