My Add

Friday 8 February 2013

Lebih RM57 juta untuk insentif tanam semula getah tahun ini


 *ORANG ramai bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang pada Majlis Sambutan Empat Dekad Risda Penuh Jaya di Kolej Risda Alor Gajah, Melaka hari ini. - UTUSAN/GAIE UCHEL

ALOR GAJAH, JUMAAT, 08 Februari, 2013: Sejumlah RM57.42 juta diperuntukkan kepada 3,828 pekebun kecil di negara ini di bawah Skim Intensif Tanam Semula (SITS), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), bermula tahun ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata skim yang diluluskan melalui Jawatankuasa Meningkatkan Pendapatan Pekebun Kecil (JKMPPK) itu akan membolehkan setiap pekebun menerima secara geran RM500 sebulan, selama empat tahun.

"Skim ini dilaksanakan sebagai satu tanggungjawab dan keprihatinan kerajaan kepada pekebun kecil dalam menangani peningkatan kos pembangunan yang semakin meningkat," katanya ketika berucap pada majlis sambutan RISDA Empat Dekad Penuh Jaya di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibaca Pengerusi RISDA, Tan Sri Dr Rahim Tamby Chik.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Ketua Pengarah RISDA, Datuk Wan Mohamad Zuki Mohamad.

Mohd Shafie berkata, di bawah skim itu, pekebun perlu mematuhi beberapa kriteria termasuk mempunyai keluasan tanah yang kurang daripada dua hektar, bergantung sepenuhnya pada hasil kebun yang ditanam semula dan berdaftar dalam e-kasih.

Beliau berkata, inisiatif itu dilaksanakan memandangkan terdapat kira-kira 20 peratus pekebun kecil yang mempunyai keluasan tanah kurang dua hektar dan bergantung sepenuhnya terhadap hasil kebun yang ditanam semula.

Sementara itu, beliau berkata, pelancaran Sistem Tanaman Semula Online yang turut dilancarkan RISDA pada majlis itu bertujuan memudahkan pekebun kecil membuat permohonan tanaman semula.

"Sistem ini dibangunkan bagi mengurangkan birokrasi dan mengurangkan masa menunggu yang lama bagi mendapatkan bantuan tanaman semula," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shafie turut mengumumkan peruntukan RM100,000 setahun bagi membiayai Kursi Mohd Isa Pandak Mat Aris yang diwujudkan di Kolej RISDA untuk penyelidikan dan kajian pembangunan sosio ekonomi masyarakat pekebun kecil.

Kursi Mohd Isa Pandak Mat Aris diwujudkan sebagai penghargaan terhadap peranan dan sumbangan yang dilakukan Allahyarham sebagai pencetus penanaman getah negara di Kuala Kangsar, Perak sejak 136 tahun lalu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment