My Add

Monday 18 February 2013

Lembah Klang bakal berdepan krisis tenaga elektrik

MARAN, ISNIN, 18 Februari, 2013: Sikap kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor yang enggan membenarkan pembinaan pencawang oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan menyebabkan Lembah Klang menghadapi krisis tenaga elektrik dalam tempoh lima tahun akan datang.

Naib Presiden (Penghantaran) TNB, Datuk Rozimi Remeli berkata, kawasan pencawang tersebut hanya membabitkan laluan sejauh satu kilometer sahaja di Rawang bagi mengalirkan 1,000 megawatt (MW) tenaga elektrik dari stesen janakuasa baharu di Manjung, Perak ke Lembah Klang.

"Jika pencawang tersebut gagal dibina, ini bukan sahaja menyebabkan krisis tenaga tetapi menjejaskan operasi bekalan air Loji Langat 2.

"Ini kerana bekalan tenaga elektrik dari Manjung itu akan dihantar ke projek talian TNB Mahkota Cheras sebelum diagihkan kepada beberapa kawasan lain termasuk membekalkan elektrik bagi membolehkan Loji Langat 2 beroperasi kelak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Kempen Kesedaran Keselamatan Elektrik 2013 Bersama Peneroka peringkat negeri di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pahang di sini hari ini.

Majlis dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob itu turut dihadiri Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Wan Salman Wan Ismail.

Selain isu pembinaan di laluan tersebut, Rozimi berkata, TNB juga berhadapan dengan masalah untuk meningkat dan menaik taraf beberapa pencawang di kawasan lain kerana kerajaan Selangor tidak memberikan kerjasama.

Katanya, pembinaan pencawang tersebut perlu dilakukan bagi membolehkan lebih banyak bekalan elektrik disalurkan kerana permintaan semakin meningkat berikutan pembinaan kawasan penempatan baharu dan industri.

"Lebih malang lagi, kerajaan Selangor juga tidak membenarkan TNB menaik taraf pencawang di kawasan yang diberikan kebenaran sejak beberapa tahun lalu.

"Kerajaan Selangor tidak memberikan kerjasama tersebut kerana mendapat bantahan penduduk walaupun telah diberikan kebenaran oleh mahkamah bagi meneruskan projek berkenaan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment