My Add

Thursday 21 February 2013

Malaysia beri jaminan produk daging import bebas daging kuda

PUTRAJAYA, KHAMIS, 21 Februari, 2013: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) memberi jaminan bahawa orang ramai tidak perlu curiga dengan integriti produk daging sedia ada dalam negara, ekoran tercetusnya skandal produk daging bercampur daging kuda di Eropah yang dikatakan kini merebak ke negara Asia.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Abdul Aziz Jamaluddin berkata, ini kerana JPV tidak pernah meluluskan pengimportan daging dan produk daging daripada loji atau rumah sembelih dari negara-negara Kesatuan Eropah.

Menurutnya, kebenaran membawa masuk daging dan produk berasaskan daging adalah daripada loji atau rumah sembelih yang telah mendapat kelulusan JPV serta Jabatan Agama Islam (Jakim), dan senarainya boleh disemak di laman web rasmi jabatan www.dvs.gov.my.

Bercakap kepada pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, beliau berkata, isu integriti dalam aspek makanan sentiasa menjadi keutamaan kerajaan, baik dari segi kesihatan, kebersihan, mahupun status halalnya.

Abdul Aziz berkata, pihaknya juga akan mengadakan perbincangan dengan jabatan kesihatan serta jabatan yang berkaitan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna minggu depan, untuk mewujudkan satu bentuk kerjasama dalam usaha memantapkan strategi bagi menjaga integriti barang-barang makanan yang diimport.

"Ia bertujuan memastikan tiada ruang langsung untuk sesiapa mengambil kesempatan bagi manipulasi keadaan. Kami bincang peringkat teknikal, kemudian mungkin kami bawa ke peringkat lebih tinggi, peringkat kementerian.

"Ia semata-mata untuk memastikan rakyat rasa selesa dan benar-benar yakin bahawa produk impot itu melepasi standard peraturan yang ditetapkan kerajaan," katanya.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, JPV kini dalam proses menyemak dan menyelaras maklum balas pihak awam terhadap Deraf Rang Undang-undang Kebajikan Haiwan, sebelum diserah kepada pejabat Peguam Negara.

Beliau berkata penyediaan deraf itu bermula sejak November 2010, dan ia telah melalui 12 kali semakan serta pindaan bagi memastikan rang undang-undang lengkap, menepati piawaian dan keperluan domestik.

Antara yang terkandung dalam rang undang-undang itu ialah ketetapan mengenai aspek perlesenan serta pendaftaran premis yang menjalankan aktiviti berkaitan pemeliharaan haiwan, peraturan berkaitan denda, kadar fi, serta pelantikan 'pegawai kebajikan haiwan'. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment